Cadangan pinda hukuman pemandu mabuk dibawa ke Kabinet hari ini, kata Wee


Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, cadangan pindaan yang dibentangkan hari ini akan menyemak semula tahap kandungan alkohol yang dibenarkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2020.

CADANGAN pindaan menambah hukuman ke atas pemandu mabuk dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu juga bukan hanya untuk menambah hukuman tetapi bertujuan untuk mengekang perbuatan memandu dalam keadaan mabuk dan berbahaya, katanya.

“Kerajaan bukan semata-mata mahu meminda Akta 333 ini tetapi juga merangka formula lebih komprehensif bagi tujuan mengekang pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara merbahaya melalui perundangan, penguatkuasaan dan pendidikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, Wee mengadakan pertemuan dengan wakil Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) di pejabatnya.

Kunjungan diketuai pengerusinya, ketua biskop Julian Leow itu antara lain membincangkan cadangan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wee juga memberitahu cadangan pindaan yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri hari ini akan menyemak semula tahap kandungan alkohol yang dibenarkan dalam tubuh pemandu, selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kementerian juga akan mengesyorkan larangan kegiatan basikal lajak yang membahayakan nyawa.

Cadangan pindaan undang-undang bagi membendung ancaman pemandu mabuk kembali berbangkit selepas beberapa insiden kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk sejak beberapa minggu lalu.

Menurut statistik polis, antara Januari hingga Mei tahun ini, terdapat 21 kes pemandu mabuk dengan lapan daripadanya menyebabkan kematian di seluruh Malaysia. Sebagai perbandingan, kes sepanjang lima bulan pertama tahun ini hampir menyamai jumlah kes sepanjang tahun lepas sebanyak 23 kes.

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke sebelum ini berkata pindaan berkenaan sudah siap semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan sepatutnya dibawa ke Parlimen pada Jun atau Julai tahun ini.

Umno dan PAS juga mencadangkan kepada kerajaan untuk membentuk sebuah jawatankuasa kabinet untuk menangani isu berkaitan termasuk penjualan minuman keras.

Pada masa ini, pemandu mabuk boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan. Bagi kes yang menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dihukum denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan. – 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen