Lebih 500,000 pelajar kembali ke sekolah hari ini


Sheridan Mahavera

Murid SMK Lembah Keramat Jaya di AU5, Kuala Lumpur pada hari pertama pembukaan sekolah selepas hampir tiga bulan sekolah diarahkan tutup dalam PKP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Jun, 2020.

LEBIH setengah juta pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas memulakan kelas hari ini pada fasa pertama pembukaan sekolah di Malaysia sejak bermulanya wabak Covid-19.

Kira-kira 2,400 sekolah kebangsaan, sekolah asrama dan swasta di seluruh sudah bersiap sedia untuk menyambut kembali pelajar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

SOP akan memastikan semua kakitangan dan pelajar dapat mengekalkan peraturan penjarakan sosial sejauh satu meter dan kebersihan diri yang tinggi.

Kejayaan pelajar dan kakitangan melaksanakan SOP akan mempengaruhi keputusan untuk membenarkan pelajar lain pula kembali ke sekolah, kata guru dan ibu bapa.

Difahamkan pentadbir dan guru juga akan mengawasi secara ketat bagaimana mengendalikan perpecahan kelas yang ada menjadi kelas lebih kecil kerana ini memerlukan beberapa guru untuk melakukan tugas berganda.

Sebagai contoh sebelum sekolah ditutup semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), seorang guru matematik Tingkatan Lima akan diminta untuk mengajar empat kelas.

Tetapi jika keempat-empat kelas itu dibahagikan kepada lapan kelas, guru yang sama perlu mengajar lapan kelas.

Pilihan lain adalah untuk guru lain, yang mungkin tidak mengajar Tingkatan Lima ditugaskan untuk mengajar kelas tambahan tersebut.

Di sebalik cabaran baharu ini Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Amiruddin Awang memberitahu The Malaysian Insight bahawa guru dan pentadbiran sekolah sudah 100% bersedia untuk kembali ke sekolah.

“Kami 100% bersedia menerima pelajar, memulakan semula kelas dan memastikan SOP dipatuhi,” katanya.

Beliau menambah sebahagian besar guru yang berpusat di Sarawak yang terkandas di Semenanjung sudah kembali ke negeri ini, terima kasih kepada kumpulan sukarelawan awam Sarawak.
Pembukaan sekolah secara berperingkat akan dimulakan dengan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas yang dijadualkan mengambil peperiksaan awam April depan.

Pelajar-pelajar ini akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa setaraf.

Setiap sekolah mesti menggunakan peraturan SOP Kementerian Pendidikan merangkumi:

* pelajar dan semua kakitangan mesti menjalani pemeriksaan suhu sebelum dibenarkan memasuki premis.

* meja diletakkan satu meter dan kelas terhad kepada 20 orang pelajar.

* waktu rehat berperingkat dan makan di kelas serta bukan di kantin.

* pembersih tangan ditempatkan di setiap kelas dan bilik untuk digunakan pada akhir waktu setiap hari.

* semua tugasan kumpulan, perhimpunan dan aktiviti kokurikulum ditangguhkan.

Kementerian berkata penyambungan semula persekolahan di peringkat menengah dan rendah yang lain akan dibuat kemudian berdasarkan persetujuan Majlis Keselamatan Nasional dan Kementerian Kesihatan. 

Pelekat di atas lantai kaki lima SMK Seksyen 19 in Shah Alam, mengingatkan murid supaya menjaga jarak sosial. Pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas memulakan kelas hari ini pada fasa pertama pembukaan sekolah di Malaysia sejak bermulanya wabak Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Jun, 2020.

Tidak sabar ke sekolah

Persediaan membuka semula sekolah di Sarawak pada awalnya sedikit bermasalah apabila menteri pendidikan negeri itu mendedahkan seramai 2,664 guru terkandas di Semenanjung sejak cuti penggal pertama persekolahan.

Daripada jumlah itu, 400 orang adalah guru Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas.

Bagaimanapun, Presiden Sarawak Volunteers Md Rafique Hafeedzy Agus berkata kumpulan itu berjaya menempah dua pesawat dari Kuala Lumpur ke Kuching dan satu dari Kuala Lumpur ke Sibu untuk membawa pulang guru-guru berkenaan.

“Kami mewakili guru-guru berunding dengan Malaysia Airlines untuk tempah tiga pesawat. Lebih 500 guru menaiki pesawat yang terbang pada 19 dan 20 Jun.

“Harga tiket penerbangan biasanya kira-kira RM1,000 tetapi kami berjaya dapatkan harga murah untuk mereka iaitu RM600,” kata Md Rafique.

Tambah beliau, satu lagi penerbangan akan diaturkan untuk 29 Jun ini jika masih ada guru yang terkandas.

Sementara itu, ibu bapa berharap SOP yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan akan melindungi anak-anak mereka dari jangkitan.

Setakat semalam, tiga kes baharu Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia kini 8,590 dengan 121 kematian.

“Bimbang juga, tetapi kita perlu bergerak ke depan dan pastikan anak-anak ini ambil langkah berjaga-jaga,” kata Pengerusi Persatuan Permuafakatan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti Kuala Lumpur Wan Zaidi.

Katanya, kelas dalam talian tidak dapat menggantikan pembelajaran secara semuka antara guru dan murid, terutamanya bagi yang akan menduduki peperiksaan penting.

“Dalam persatuan kami, murid beritahu ibu bapa yang mereka mahu kembali semula ke sekolah sebab rindukan suasana belajar di sekolah,” kata Wan Zaidi.

Murid rindukan suasana berada dalam kelas, bertanya soalan kepada guru dan berbincang dengan rakan sekelas, tambah beliau.

“Sudah sampai masanya kembali ke sekolah kerana anak-anak yang akan duduki peperiksaan tidak sabar untuk belajar semula.

“SOP ini diharapkan akan dapat mencegah jangkitan antara murid.” – 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen