Masih ada guru sekolah Sarawak terkandas di semenanjung 


Desmond Davidson

Menteri Pendidikan Sarawak Michael Manyin berkata, guru terbabit berdepan beberapa masalah untuk kembali semula ke Sarawak berikutan penerbangan dari semenanjung ke negeri itu yang terhad.– 11 Jun, 2020.

SEBAHAGIAN daripada kelas sekolah di Sarawak mungkin tidak akan dibuka semula pada 24 Jun berikutan masih ada guru yang terkandas di semenanjung, kata Michael Manyin.

Menteri pendidikan negeri itu berkata, kira-kira 2,664 guru yang pulang ke kampung di semenanjung sejak cuti penggal pertama persekolahan, masih belum kembali ke sekolah masing-masing sebagai mana yang diarahkan Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 400 orang adalah guru Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas.

Mereka diarahkan kembali semalam (9 Jun) untuk persediaan pembukaan semua sekolah, namun guru ini tidak daat kembali pada masa yang ditetapkan berikutan penerbangan antara semenanjung dan Sarawak terhad.

Selain masalah kekurangan penerbangan, kos tiket penerbangan turut menjadi masalah kepada kebanyakan guru, katanya.

Semakan di laman web AirAsia mendapati semua tiket penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kuching sudah ditempah sehingga Sabtu dan tiket sehala paling murah adalah pada Ahad bermula daripada RM1,355.30 - tidak termasuk cukai, makanan dan kos tambahan lain.

Malah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri juga tidak akan berkompromi dengan protokol kesihatan terhadap mereka dari semenanjung.

“Jawatankuasa tidak akan berkompromi. Semua guru perlu menjalani kuarantin (14 hari selepas tiba),” kata Manyin.

“Mereka yang berkhidmat di kawasan bandar boleh menjalani kuaranti di rumah, namun mereka yang bertugas di kawasan luar bandar akan dikuarantin di hotel.”

“Jadi kita tidak boleh mulakan kelas pada 24 Jun kerana terdapat sekolah yang kekurangan guru,” katanya.

Bagaimanapun kata Manyin, sebuah NGO di Sarawak, Sarawak Volunteers, akan membantu guru agar diberi keutamaan dan mendapatkan penerbangan kembali ke Sarawak.

“Kami percaya mereka boleh kembali ke Sarawak sekiranya pesawat berkapasiti penuh dibenarkan.”

Di Sarawak, 188 sekolah menengah, teknik dan sekolah agama mempunyai pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas yang akan menduduki peperiksaan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), akan dibuka semula pada 24 Jun.

Lebih 34,000 pelajar Tingkatan 5 dan 6,782 pelajar Tingkatan 6 Atas akan kembali menyambung pelajaran selepas sekolah dibuka.

Mereka merupakan antara 500,444 pelajar di 2,440 buah sekolah di Malaysia yang akan kembali bersekolah pada 24 Jun, kata Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin semalam.

Menteri kanan itu berkata, sesi persekolahan hanya dibuka semula kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia peperiksaan antarabangsa yang setaraf. – 11 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen