Pandikar dikritik kerana cabar ketua menteri Sarawak berdebat


Bede Hong

Pemimpin BN Sarawak berkata membazir masa saja beri Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia berdebat dengan ketua menteri tentang pentingnya Perjanjian Malaysia 1963. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2017.

MEMBAZIR masa saja untuk ketua menteri Sarawak berbahas dengan Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia tentang pentingnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri hari ini.

Mereka berkata Pandikar tidak sepatutnya diberikan masa itu memandangkan beliau tidak mempunyai locus standi dalam mengembalikan hak MA63 kepada Sabah dan Sarawak.

Tambahan lagi, mereka berkata beliau menghina sejarah dan “tidak tahu realiti politik”.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg pada minggu lalu mengkritik Pandikar kerana berkata MA63 bukan dokumen penting dalam pembentukan Malaysia.

Pada sidang media di Parlimen semalam, Pandikar mencabar Abang Johari untuk berdebat isu MA63.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tidak perlu adakan debat dengan individu yang menghina sejarah.

“Lebih pun, dia tidak ada kuasa dalam mengembalikan hak MA63 kepada Sabah dan Sarawak.

“Kami tidak perlukan ketua menteri yang boleh berdebat dengan mereka yang meragui MA63, tetapi ketua yang tegas dan tekad dalam rundingan dengan Putrajaya tentang MA63,” katanya yang juga menteri pelancongan negeri kepada The Malaysian Insight.

Pandikar semalam berkata: “Kalau Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg tidak setuju dengan pandangan saya, maka saya pun tidak setuju 100% dengan pandangannya.

“Kalau dia tak setuju dengan saya 10 kali, saya tak setuju dengan dia 100 kali.

“Saya dah dengar pandangan Selangor (Mohamed Azmin Ali) dan Pulau Pinang (Lim Guan Eng). Saya dah biasa sangat dengar pandangan semua menteri.

“Jadi, tak ada bezanya bagi saya apa pandangan Ketua Menteri Sarawak itu,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Pandikar ialah ahli politik Sabah.

Minggu lalu, Pandikar turut mencabar Presiden Warisan Sabah Shafie Apdal untuk berdebat.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (SUPP) Dr Sim Kui Hian berkata tidak guna mengadakan debat itu kerana kebanyakan rakyat Borneo sudah pun tahu tentang perjanjian itu.

“Tidak perlu dia (Abang Johari) hendak berdebat. Membazir masa. Saya pasti majoriti rakyat Sabah dan Sabah tidak bersetuju dengan speaker,” kata Sim.

Ketua setiausaha politik Abang Johari, Abdullah Saidol menyifatkan komen Pandikar sebagai “tidak tahu realiti politik”.

“Saya tidak fikir ketua menteri berminat untuk menari dengan irama Pandikar yang sumbang,” kata Abdullah, yang juga penolong menteri hal ehwal korporat negeri.

“Namun, agak mengejutkan untuk mendengar komen seperti itu daripada seorang warga Sabah, yang mengatakan MA63 tidak relevan.”

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing enggan menyerang Pandikar secara langsung dan berkata MA63 sebahagian daripada pembentukan negara ini.

“MA63 ialah tunjang pembentukan Malaysia. Tanpanya tidak akan ada Malaysia. Kalau tidak ada Malaysia, tidak akan ada Perlembagaan Persekutuan,” kata Masing yang mengetuai Parti Rakyat Sarawak.

MA63 ialah perjanjian antarabangsa yang menetapkan terma dan syarat yang dipersetujui Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak untuk bergabung membentuk Malaysia. United Kingdom juga menandatanganinya.

Perjanjian itu tidak boleh dipinda di Parlimen dan membenarkan autonomi asas Sabah dan Sarawak berhubung perkara seperti bahasa, agama, undang-undang adat, pendidikan dan imigresen. – 1 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • 擾亂社會秩序的 香港警員就應該學學美國員警 這樣的直接電擊槍擊暈 全部帶走 看來香港員警太仁慈沒用。。

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Bird dichi · Ulasan

  • 今天休息

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh David michi · Ulasan

  • 最困难的事情就是认识自己.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh 米 多多 · Ulasan