Anugerah Oscar ditangguh 2 bulan susulan pandemik


Memandangkan banyak filem terpaksa menunda tarikh tayangannya sehingga pawagam dibuka semula, tarikh akhir bagi filem yang layak untuk Oscar juga dilanjutkan hingga akhir Februari. – Gambar EPA, 16 Jun, 2020.

ANUGERAH Oscar tahun depan ditangguhkan selama lapan minggu hingga 25 April susulan pandemik koronavirus, kata Academy of Motion Picture Arts and Science pada Isnin.

Memandangkan banyak filem terpaksa menunda tarikh tayangannya sehingga pawagam dibuka semula, tarikh akhir bagi filem yang layak untuk Oscar juga dilanjutkan kepada dua bulan, hingga akhir Februari.

“Harapan kami dengan melanjutkan tempoh kelayakan dan tarikh acara anugerah akan memberikan fleksibiliti diperlukan oleh pembuat filem untuk menyelesaikan dan melancarkan filem mereka tanpa dikenakan denda atas sesuatu yang di luar kawalan,” kata Presiden Academy David Rubin dan CEO Dawn Hudson dalam satu kenyataan.

Malam terbesar industri filem itu asalnya dijadualkan pada 28 Februari 2021.

Keputusan Isnin ini didorong oleh kebimbangan ia hanya disertai filem yang dilancarkan pada 2020 tidak akan sebesar atau kompetitif seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sebilangan besar pawagan filem AS masih ditutup, dan produksi filem terhenti, dengan kebimbangan meningkatnya gelombang kedua kes Covid-19.

Syarikat penerbitan mula beroperasi semula dalam beberapa minggu mendatang susulan kelonggaran sekatan kini mempunyai dua bulan tambahan untuk menyudahkan semuanya tanpa harus mengorbankan harapan terhadap Oscar.

Penundaan itu juga meningkatkan harapan yang Anugerah Akademi ke-93 dapat diteruskan secara langsung dan bukannya acara “maya”. – AFP, 16 Jun, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen