Parasite filem terbaik Academy Awards 2020


Bong Joon-ho yang menghasilkan filem Parasite menerima anugerah Oscar kategori lakon layar terbaik di Anugerah Academy ke-92 yang berlangsung di Dolby Theatre di Los Angeles pada Ahad.– Gambar EPA, 10 Februari, 2020.

PARASITE, filem Korea Selatan mengenai kesenjangan ekonomi, merangkul hadiah filem terbaik di Anugerah Academy, menjadikannya filem bukan berbahasa Inggeris pertama memenangi hadiah utama di Hollywood.

Parasite mengetepikan dua filem pesaing utamanya iaitu 1917 arahan Sam Mendes dan Once Upon a Time in Hollywood arahan Quentin Tarantino.

Parasite turut menang tiga hadiah lain iaitu filem antarabangsa terbaik, lakon layar terbaik, sementara pengarahnya Bong Joon-ho diumumkan sebagai pengarah terbaik.

“Lidah saya kelu,” kata penerbit Parasite, Kwak Sin-ae, semasa menerima hadiah filem terbaik yang disampaikan pelakon Jane Fonda.

“Ini tidak pernah kami bayangkan. Kami sangat gembira,” tambahnya.

Kemenangan di Anugerah Academy kali ke-92 ini melengkapkan pencapaian cemerlang Parasite selepas meraih anugerah filem terbaik Palme d’Or di Festival Filem Cannes tahun lalu dan filem bahasa asing terbaik di Festival Filem Britain (Bafta), awal bulan ini.

Parasite memenangi hadiah utama filem terbaik tanpa seorang pun pelakonnya dicalonkan untuk mana-mana kategori, sama seperti ketika Slumdog Millionaire, yang juga menampilkan tidak seorang pun pelakon Hollywood, menang hadiah sama pada 2009.

Sementara itu, Joon-ho menang hadiah pengarah terbaik mengalahkan pilihan utama Sam Mendes untuk 1917, yang sebelum ini menang di Golden Globe dan Directors Guild.

Brad Pitt menang hadiah pelakon pembantu lelaki terbaik melalui “Once Upon a Time in Hollywood”. – Gambar AFP, 10 Februari, 2020.

“Saya tidak terfikir akan menang,” kata Joon-ho, dalam ucapannya yang turut memberi penghormatan kepada pengarah lain yang dicalonkan bersamanya.

1917, filem tentang Perang Dunia Pertama, menang tiga anugerah teknikal iaitu sinematografi, suntingan bunyi dan kesan bunyi terbaik.

Dalam pada itu, Joaquin Phoenix dinamakan pelakon lelaki terbaik melalui lakonannya sebagai badut yang memilih jalan keganasan dalam Joker. Dalam ucapan penerimaan hadiahnya, Phoenix menyampaikan pesan tentang aktivisme sosial yang boleh dimainkan oleh karyawan misalnya dalam isu alam sekitar dan hak asasi.

Renee Zellweger pula dipilih sebagai pelakon wanita terbaik melalui persembahannya sebagai Judy Garland dalam filem biografi Judy arahan Rupert Goold.

Netflix, penerbit yang mendapat pencalonan terbanyak untuk 24 kategori, menang dua hadiah iaitu dokumentari terbaik (American Factory) dan pelakon pembantu wanita melalui Laura Dern dalam Marriage Story.

Brad Pitt menang hadiah pelakon pembantu lelaki terbaik melalui “Once Upon a Time in Hollywood”.

Filem tentang mafia The Irishman arahan Martin Scorsese yang diterbitkan oleh Netflix tidak menang sebarang anugerah walaupun mendapat 10 pencalonan.  – 10 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen