Disneyland di California dibuka semula Julai


Pengunjung melihat pintu gerbang taman tema Disneyland di California, AS pada 14 Mac 2020 yang dikunci selepas ditutup susulan Covid-19. – Gambar EPA, 11 Jun, 2020.

DISNEYLAND di California mengumumkan pada Rabu rancangan pembukaannya semula bulan depan - tetapi dengan kapasiti “sangat terhad”, dan tanpa peluang untuk memeluk Mickey Mouse atau Donald Duck buat masa ini.

Di bawah pelan itu, yang masih memerlukan persetujuan kerajaan, resort berhampiran Los Angeles, yang merangkumi Disneyland dan Disney California Adventure, akan menyambut kedatangan pengunjung mulai 11 Julai.

Disneyland adalah taman tema kedua paling banyak dikunjungi di dunia, menarik puluhan ribu pelawat setiap hari, tetapi tidak lagi demikian sejak ditutup pada pertengahan Mac.

Langkah ini dilakukan selepas kejayaan pembukaan semula Disneyland Shanghai bulan lalu, dan mencontohi jadual yang serupa dengan memulakan semula Disney World di Florida, yang sudah memperoleh persetujuan kerajaan.

Taman tema itu menghasilkan sebahagian besar pendapatan bagi Mouse House. Bulan lalu, Disney berkata pendapatan operasi suku tahunan bahagian itu turun 58% berbanding tahun sebelumnya, yang disebabkan oleh pandemik koronavirus.

Apabila taman California dibuka semula, semua pengunjung perlu membuat tempahan terlebih dahulu, dan langkah penjarak sosial bermaksud tiada perarakan atau “persembahan waktu malam” sehingga diberitahu kelak.

“Walaupun perjumpaan mesra dengan karektor tiada buat sementara waktu, semua karektor akan berada di taman dengan cara baru untuk menghiburkan dan menggembirakan pengunjung,” kata Disney dalam satu kenyataan.

Hotel di situ juga akan dibuka semula pada minggu berikutnya di bawah rancangan itu. – AFP, 11 Jun, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen