SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) terhadap skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menggesa polis untuk menyiasat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim.
Dalam buku laporan bertajuk “Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Sekitar Tahun 1990-an”, RCI turut menggesa polis menyiasat ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.
“Suruhanjaya berpendapat daripada fakta yang diberikan kepada inkuiri, terdapat asas untuk mencadangkan polis menjalankan siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah dan atau penipuan yang mungkin dilakukan oleh kakitangan BNM, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara, menteri kewangan dan perdana menteri dalam menjalankan urusniaga spekulasi forex dan menyembunyikan kerugian forex daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen,” kata laporan itu.
Dr Mahathir kini merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.
Anwar merupakan ketua umum PH dan PKR. Kedua-dua bekas pemimpin negara itu kini bergabung tenaga melawan Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN).
Hari ini merupakan hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi sesi 2017.
Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI yang terdiri daripada Mohd Sidek Hassan Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Soon dan P. Kanagarayar pada 13 Oktober lalu.
RCI ditubuhkan untuk menentukan kebenaran dakwaan mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.
RCI akan memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan mengelirukan kabinet, Parlimen dan orang awam.
Empat puluh dua dokumen juga dikemukakan semasa prosiding tersebut.
Seramai 25 saksi - termasuk Dr Mahathir, bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim, dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin - memberi keterangan pada pendengaran selama lapan hari.
Selain itu, bekas penasihat Bank Negara Noor Mohamed Yakcop turut dipanggil dan memberikan keterangan.
Saksi-saksi yang dipanggil untuk RCI forex ialah: Aziz@Abdul Aziz Abdul Manaf, Ahmad Hazzad Baharuddin, Abdul Murad Khalid, Wong Yew Sen, Essah Yusoff, Fizaman Noor Mohammed Nasir, P Kanason Pothinker, Saleha Lajim, Ishak Ismail, Khaw Lay Kuan, Lee Siew Kuan, Dr Lin See Yan, Mohd Sheriff Mohd Kassim, Clifford Francis Herbert, Anum Mohd Saaid, Dr Zeti Akhtar Aziz, Nor Mohamed Yakcop, Azman Mat Ali, Dr Hadenan A Jalil, Ahmad Mohd Don, Anwar Ibrahim, Othman Jusoh, Daim Zainuddin, Dr Mahathir Mohamad dan Rizal Ishak. – 30 November, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan