PUTRAJAYA akan membentangkan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) skandal forex Bank Negara Malaysia di Parlimen hari ini.
Walaupun tidak terdapat dalam Aturan Urusan Mesyuarat, laporan RCI setebal 400 halaman dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu sudah berada di meja ahli-ahli Parlimen.
Buku laporan itu bertajuk “Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Sekitar Tahun 1990 an.”
Hari ini merupakan hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi sesi 2017.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan dikaitkan dengan kerugian yang dianggarkan sebanyak RM30 bilion itu.
Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh panel RCI terdiri daripada Mohd Sidek Hassan Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Soon dan P. Kanagarayar pada 13 Oktober lalu.
RCI ditubuhkan untuk menentukan kebenaran dakwaan mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.
RCI akan memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan mengelirukan kabinet, Parlimen dan orang awam.
Empat puluh dua dokumen juga dikemukakan semasa prosiding tersebut.
Seramai 25 saksi - termasuk Dr Mahathir, bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin - memberi keterangan pada pendengaran selama lapan hari.
Selain itu, bekas penasihat Bank Negara Noor Mohamed Yakcop turut dipanggil dan memberikan keterangan. – 30 November, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan