TIADA ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Parti Warisan Sabah yang akan keluar parti untuk menyokong Perikatan Nasional (PN), kata setiausaha agungnya Loretto Padua.
Beliau membuat penafian itu ketika media semalam melaporkan ada wakil rakyat di Sabah yang akan saling melompat parti sama ada untuk menyokong kerajaan di Putrajaya atau menarik balik sokongan.
Menurut Loretto, beliau sudah menghubungi wakil rakyat partinya dan mereka memberitahunya “sentiasa teguh” bersama presiden parti Mohd Shafie Apdal, yang juga ketua menteri.
“Perkara ini (laporan lompat parti keluar Warisan) tidak benar sama sekali.
“Ini hanyalah permainan persepsi oleh PN kerana mereka takut dengan sokongan yang diberikan kepada PH Plus,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Menurut Loretto, permainan persepsi itu bukan saja melibatkan ahli Parlimen tetapi juga Adun Warisan, agar mereka menyokong PN.
“Mereka (PN) sudah ketandusan. Mereka berani menjual nama ahli-ahli Parlimen kononnya mereka telah bersetuju untuk melompat,” katanya.
Loretto mengulas laporan Harian Metro semalam yang mendakwa empat ahli Parlimen Warisan keluar parti dan menyokong PN. Laporan itu sudah dipadam tanpa sebarang penjelasan.
Berita sama turut disiarkan oleh sebuah portal berita di Sabah yang bagaimanapun hanya memetik sumber yang tidak dinamakan.
Laporan itu muncul ketika Warisan semalam mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Dr Mahathir Mohamad yang mewakili Bersatu di Kuala Lumpur, untuk membincangkan hala tuju gabungan yang setakat ini dilaporkan sebagai PH Plus.
Pertemuan itu dipercayai membincangkan calon perdana menteri, ketika gabungan PN dilaporkan semakin hilang sokongan majoriti tipis di Dewan Rakyat.
Semalam juga, sebuah portal berita di Semenanjung Malaysia turut melaporkan empat ahli Parlimen Bersatu dari Sabah akan mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin dan beralih mendukung Dr Mahathir.
Laporan itu juga memetik sumber yang tidak dinamakan.
Bersatu mempunyai lima ahli Parlimen, dengan dua daripadanya adalah menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Muhyiddin.
Warisan pula mempunyai 9 ahli Parlimen dan 33 Adun daripada 65 kerusi di DUN Sabah. – 10 Jun, 2020.
Komen