PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat dengan Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal petang ini hanya berdiam diri enggan mengulas butir perbincangan, yang dijangka menentukan hala tuju gabungan itu selepas digantikan oleh Perikatan Nasional (PN) lebih tiga bulan lalu.
Selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR hari ini, rundingan yang dilapor oleh media sebagai PH Plus (bersama Bersatu di bawah Dr Mahathir dan Warisan) hanya mengeluarkan satu kenyataan ringkas tiga perenggan.
“Pimpinan Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat bersama Dr Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal hari ini, yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim.
“Mesyuarat hari ini telah menyaksikan perbincangan secara menyeluruh tentang pendirian setiap parti, dan menampakkan kemajuan yang amat positif.
“Proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat.
Kenyataan dikeluarkan atas nama pemimpin yang mewakili parti komponen dalam PH, serta Bersatu dan Warisan.
PKR diwakili Presidennya Anwar sementara Amanah oleh Presidennya Mohamad Sabu dan DAP oleh Setiausaha Agung Lim Guan Eng.
Dr Mahathir mewakili Bersatu, walaupun parti itu melalui kem Presidennya Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberhentian keahliannya daripada parti, bersama empat ahli Parlimen lain yang tidak menyokong PN.
Dr Mahathir dan kumpulannya hari ini memfailkan saman bagi pihak Bersatu terhadap Muhyiddin dan dua yang lain serta ketua pengarah Pendaftar Pertubuhan.
Mesyuarat turut disertai setiausaha agung Bersatu dari kem Dr Mahathir, Marzuki Yahya, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin, dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.
Dr Mahathir dilihat meninggalkan ibu pejabat PKR pada jam 6.15 petang, disusuli Anwar tidak lama selepas itu.
Mesyuarat petang ini dipercayai adalah pertemuan pertama secara bersemuka antara Dr Mahathir dan Anwar sejak PH tersingkir di Putrajaya pada hujung Februari lalu.
Mesyuarat lebih tiga jam itu jadi perhatian selepas pertemuan berasingan minggu lalu antara pemimpin PH bersama Dr Mahathir dan Anwar, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat.
Mesyuarat “PH Plus” petang tadi berlangsung ketika suhu politik hangat dengan desas-desus PH sedang mengumpulkan sokongan untuk menafikan majoriti sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Mesyuarat petang tadi juga berlangsung ketika ada suara dalam gabungan itu yang mahu Dr Mahathir dan Anwar terus bersepakat untuk menerajui kempen baharu PH menjatuhkan kerajaan sekali lagi.
Media sebelum ini melaporkan spekulasi mesyuarat petang tadi membincangkan cadangan calon perdana menteri PH, ketika gabungan itu dilihat terus bergolak atas isu jawatan perdana menteri semasa ia jadi kerajaan dan sekarang selepas jadi pembangkang sejak tiga bulan lalu.
Sebelum ini, Anwar tidak menyertai sidang media PH, Bersatu dan Warisan yang diadakan selepas pembukaan sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.
Dua hari selepas itu Anwar menjelaskan beliau tidak hadir kerana itu bukan sidang media PH. – 9 Jun, 2020.
Komen