PEMBEBASAN Musa Aman berbeza dengan perjanjian penyelesaian kes diterima Riza Aziz daripada kerajaan kurang sebulan lalu, kata peguam bekas ketua menteri Sabah itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pembelaan untuk pembebasan penuh selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan ke atas pemimpin berusia 69 tahun itu.
Peguam Kanan Amer Hamzah berkata tidak seperti kes Riza, pasukan peguam Musa sebelum ini memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan itu, berhujah yang ia pincang dan adalah pertuduhan politik.
Pembelaan juga mendakwa wang diterima Musa adalah dana politik.
Riza, yang merupakan anak tirit Najib Razak dilepaskan tetapi tidak dibebaskan dalam lima pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.07 bilion) melalui sebuah syarikat bikin filem Hollywood.
Putrajaya berkata keputusan itu adalah sebahagian daripada perjanjian penyelesaian kes dengan Riza akan memulangkan semula AS$107 juta aset kepada Malaysia.
Peguam Riza memfailkan perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara pada November lepas, meminta pertuduhan penggubahan wang haram digugurkan apabila Riza memenuhi beberapa syarat ditetapkan.
“Kedua-dua kes ini berbeza. Kami sudah failkan permohonan untuk batal pertuduhan ke atas Tan Sri Musa.
“Permohonan kami disokong oleh afidavit yang menyenaraikan semua fakta penting,” kata Amer kepada The Malaysian Insight, menambah yang pasukan pembelaan juga memfailkan afidavit sokongan daripada bekas peguam negara Abdul Gani Patail.
“Kes kami untuk membatalkan pertuduhan kuat berasaskan salah guna proses, pendakwaan politik dan mala fide (berniat jahat) pendakwaan.
“Tan Sri Musa dibebaskan oleh Suruhanjaya Bebas Anti Korupsi Hong Kong (ICAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2012.
“Jadi hujah kami adalah walaupun begitu (dibebaskan oleh dua agensi penguatkuasaan), pertuduhan masih dibuat ke atas anak guam saya selepas pilihan raya 2018. Mengapa tunggu? Sepatutnya, Tan Sri Musa tidak didakwa pada November 2018 kerana beliau sudah dibebaskan oleh SPRM dan ICAC.” – 9 Jun, 2020.
Komen