MALAYSIA dan Singapura sedang memuktamadkan mengenai bagaimana rakyat negara ini boleh kembali bekerja di republik itu selepas masing-masing melonggarkan sekatan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata ketua setiausaha Kementerian Luar Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari Singapura untuk membincangkan perkara ini.
“Kerajaan mengambil maklum sektor industri di Singapura telah memulakan operasi mereka, dan mereka juga meminta kebenaran supaya pekerja mereka warganegara Malaysia yang berada di Johor Bahru untuk berulang-alik ke Singapura.
“Ramai sebenarnya yang berulang-alik ke Singapura.
“Mesyuarat khas bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia berulang-alik untuk urusan kerja di Singapura, dan kita bersedia untuk memastikan mereka menjalani ujian Covid-19. Kalau itulah syarat yang diberikan oleh kerajaan Singapura,” katanya pada sidang media hari ini.
Malaysia semalam mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa dari 10 Jun hingga 31 Ogos bagi menggantikan PKP Bersyarat yang akan tamat esok.
Singapura pula menamatkan sekatan pergerakan yang dipanggil “pemutus rantaian” 1 Jun lalu. – 8 Jun, 2020.
Komen