KP Kesihatan setuju keputusan Putrajaya buka lebih banyak sektor ekonomi


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada peningkatan kes secara mendadak selepas Hari Raya. – Gambar YouTube, 6 Jun, 2020.

KEPUTUSAN Putrajaya untuk membenarkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan beroperasi semula minggu depan adalah selamat kerana dijangka tiada peningkatan ketara kes Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua sektor itu sudah ditetapkan dan tahap pematuhan akan dipantau apabila operasi bersambung semula pada 10 Jun.

“Kita tidak melihat peningkatan mendadak kes selepas Hari Raya. Jadi jika kita boleh mengawal situasi ini selepas Hari Raya, maka sudah tiba masa membuka sektor ekonomi lain terutamanya kedai gunting rambut dan lain-lain.

“SOP sudah disediakan dan kini kita perlu memantau pelaksanaannya bagi memastikan mereka patuh.

“Oleh itu pada 10 Jun, kita akan membenarkan kedai gunting rambut dibuka tetapi kementerian akan memantau jika berlaku peningkatan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya.

Terdahulu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan membenarkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan beroperasi dengan syarat ketat bermula 10 Jun.

“Kerajaan hari ini memutuskan untuk membenarkan kedai gunting, hair dresser dan kecantikan dibuka namun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.”

“Antaranya adalah penjarakan sosial, mengguna topeng muka, sarung tangan, pembasmi kuman, pemeriksaan suhu badan dan penggunaan pelitup muka untuk kanak-kanak. Terdapat banyak lagi garis panduan yang perlu mereka patuhi,” katanya. – 6 Jun, 2020.
   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen