KERAJAAN akan membenarkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan beroperasi dengan syarat ketat bermula 10 Jun, kata Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, menteri kanan itu berkata warga emas berumur 60 tahun ke atas perlu membuat temu janji terlebih dahulu sebelum dapatkan khidmat gunting rambut.
Syarat yang sama turut dikenakan kepada mereka yang mahu dapatkan rawatan muka dan kecantikan.
“Kerajaan hari ini memutuskan untuk membenarkan kedai gunting, hair dresser dan kecantikan dibuka namun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.”
“Antaranya adalah penjarakan sosial, mengguna topeng muka, sarung tangan, pembasmi kuman, pemeriksaan suhu badan dan penggunaan pelitup muka untuk kanak-kanak. Terdapat banyak lagi garis panduan yang perlu mereka patuhi,” kata Ismail Sabri pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
“Bagi warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, mereka dinasihatkan untuk membuat temu janji sebelum mendapatkan khidmat gunting rambut atau rawatan.”
“Sama juga untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, ibu bapa perlu buat temu janji,” tambahnya.
Ismail Sabri berkata lebih selamat untuk individu gunting rambut di rumah kerana kurang kontak manusia.
“Kita membenarkan panggilan ke rumah kerana ia lebih selamat. Kurang orang di satu tempat dan kurang kontak manusia,” tambahnya ketika ditanya sama ada kerajaan membenarkan untuk khidmat panggilan tukang gunting ke rumah.
Bulan lalu, Ismail Sabri berkata, khidmat gunting rambut di rumah tidak dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berkuatkuasa. – 6 Jun, 2020.
Komen