PUTRAJAYA menafikan pernah berbincang untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah atau Regional Counter-Intelligence di Johor ditawarkan China seperti didakwa sebelum ini.
Kementerian Pertahanan menjawab soalan lisan Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) yang mahu mendengar pendirian kerajaan mengenai tawaran China untuk membina pusat yang dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu.
“Perkara ini tiada dalam pengetahuan pihak kementerian malah ia tidak pernah dibincangkan dalam sebarang forum dan kementerian tidak berhasrat untuk membina pusat yang sedemikan,” kata kementerian pertahanan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
The Malaysian Insight melaporkan pada Ogos lalu China bakal menawarkan Malaysia sistem pelancar peluru berpandu lebih canggih dan radar berpangkalan di Johor.
Langkah ini mencerminkan kerjasama meluas dalam bidang pertahanan dan perdagangan di antara kedua-dua negara di rantau Laut China Selatan.
The Straits Times Singapura melaporkan pada Ogos, memetik sumber pegawai Malaysia, China menawarkan 12 unit sistem pelancar peluru berpandu pelbagai guna (MLRS) jenis AR3.
Laporan itu turut berkata, cadangan penempatan radar dan sistem peluru berpandu itu disentuh secara ringkas ketika perbincangan antara Perdana Menteri Najib Razak dan Kaunselor Negara China, Wang Yong, selepas majlis pecah tanah pembinaan rojek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Ogos lalu. – 29 November, 2017.
Komen