Sistem pelancar roket, radar lambang hubungan erat dengan China


Jahabar Sadiq

Hubungan baik Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden China Xi Jinping tidak dapat disangkal lagi dengan pelbagai projek usahasama mega di Malaysia. – Gambar EPA, 9 Ogos, 2017.

CHINA bakal menawarkan Malaysia sistem pelancar roket lebih canggih dan radar berpangkalan di Johor, sekali gus mencerminkan kerjasama meluas dalam bidang pertahanan dan perdagangan di antara kedua-dua negara di rantau Laut China Selatan, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Tawaran hebat dengan kadar faedah rendah itu akan dilakukan delegasi peringkat tertinggi yang diketuai utusan khas Presiden China Xi Jinping semasa lawatan pelancaran Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) esok.

“Dijangkakan sehingga 12 unit sistem pelancar roket berganda AR3 (MLRS) ditawarkan kepada Malaysia dalam program pembelian dengan tempoh pinjaman 50 tahun,” kata sumber itu.

“MLRS yang mempunyai kemampuan sehingga sejauh 220km, akan ditempatkan di Johor dengan sistem radar,” tambah sumber itu, mengesahkan laporan The Malaysian Insight pada April lalu.

Malaysia sebelum ini menandatangani perjanjian membeli empat kapal perang litoral dari China, pembelian paling penting daripada Kerajaan Tengah itu yang dilihat sebagai tamparan kepada pembekal aset pertahanan tradisi di Barat.

“Beijing berpendapat Malaysia sangat penting bagi keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata seorang diplomat serantau kepada The Malaysian Insight.

Sistem pelancar roket AR3 itu adalah sistem roket artileri, dibangunkan syarikat Norinco dari China khusus untuk eksport dan pertama kali didedahkan kepada umum pada 2011.

Laman sesawang military-today.com menggambarkan AR3 sebagai MLRS paling hebat di dunia dengan kemampuan melancarkan misil konvensional dan berpandu terarah.

Portal itu mengatakan AR3 adalah sistem roket multi kaliber dengan dua pod dan empat tiub pelancar bagi roket 370mm, atau lima tiub pelancar roket 300mm.

China dijangka menawarkan 12 unit MLRS menerusi program pembelian dengan tempoh bayaran 50 tahun. – Gambar defence-blog.com, 9 Ogos, 2017.

AR3 menggunakan casis roda khas 8x8 model Wanshan WS2400. Casis beroda yang sama digunakan bagi sistem pelancaran roket multi kaliber bersaiz besar oleh China baru-baru ini.

Sumber berkata pertahanan udara dan sistem radar di bahagian selatan semenanjung Malaysia itu akan menjadi perbalahan dengan Singapura, yang dilihat sebagai proksi kepada Amerika Syarikat di rantau itu oleh China.

Malaysia dan Singapura bersama dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) tetapi negara jiran secara perlahan-lahan menambah aset pertahanan mereka dan terdapat isu berkaitan kawalan ruang udara.

Negara lain dalam FPDA yang ditubuhkan untuk mempertahankan Malaysia dan Singapura semasa Perang Dingin adalah United Kingdom, Australia dan New Zealand. –  9 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen