Buku teks baharu bahasa Inggeris tingkatan 1 untuk pelajar Sepanyol


Amin Iskandar

Buku teks baharu diperkenalkan Kementerian Pendidikan iaitu “Pulse 2” bagi kegunaan pelajar tingkatan satu dicetak untuk kegunaan pelajar Sepanyol, kata pemimpin DAP Zairil Khir Johari.. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 November, 2017.

BUKU teks baharu diperkenalkan Kementerian Pendidikan iaitu “Pulse 2” bagi kegunaan pelajar tingkatan satu dicetak untuk kegunaan pelajar Sepanyol, kata pemimpin DAP Zairil Khir Johari.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, selepas meneliti dengan mendalam buku berkenaan, beliau menemui beberapa perkara berkaitan budaya Sepanyol yang tidak bersesuaian dengan budaya tempatan.

“Selepas meneliti buku teks ini pada muka surat lapan, saya menemui satu latihan yang menanyakan maksud ‘poster.’ Hasil carian di Google Translate ia bermaksud ‘cartel’ dalam bahasa Sepanyol,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Terdapat juga perkataan ‘lápiz’ yang bermaksud pensil. Bagaimana pelajar Malaysia nak jawab soalan ini sedangkan tidak mempunyai pendedahan mengenai Sepanyol?”

Menurut Zairil, buku berkenaan sebenarnya untuk kegunaan pelajar di Sepanyol kerana terdapat maklumat penerbitan “Printed and Bound in Spain by Edelvives”.

Beliau berkata jika syarikat penerbitan tempatan gagal untuk memenuhi Kerangka Rujukan Umum Untuk Bahasa Eropah (CEFR), pastinya mereka mampu menambah baik kandungan buku teks sedia ada supaya selari dengan kehendak ditetapkan.

“Awal tahun ini kementerian sudah membelanjakan RM7.1 juta untuk buku teks baru dan menambah kos RM33 juta lagi pada pertengahan tahun tanpa tander terbuka.

“Saya percaya syarikat tempatan juga mampu memenuhi ciri yang diperlukan mengenai kandungan buku teks berbanding mengimport buku teks,” katanya.

Minggu lalu, Zairil mendakwa, pembelajaran bahasa Inggeris akan menyusahkan dan mahal bila Kementerian Pendidikan menggunakan buku teks import, selain buku-buku itu tidak bersesuaian dengan budaya Malaysia.

Lebih membimbangkan bila buku-buku ini tidak menggunakan isi kandungan tempatan, memandangkan contoh-contoh yang diberikan terlalu asing dan hanya sesuai dalam konteks British, katanya.

Memetik contoh daripada Pulse 2, beliau berkata, murid diminta “menonton Channel 4” siaran British untuk menjawab beberapa soalan.

“Dalam konteks rakyat Malaysia, ini sangat asing dan tak bermaksud apa-apa. Bagaimana murid-murid kita nak rujuk program TV itu sedangkan Channel 4 tidak disiarkan di Malaysia?

“Untuk memudahkan pembelajaran apa-apa subjek pun, kena ada rujukan budaya tempatan. Dalam hal ini, penggunaan budaya luar yang banyak akan mengelirukan murid dan juga guru,” katanya. – 29 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen