PENDIDIKAN bahasa Inggeris akan menyusahkan dan mahal bila Kementerian Pendidikan menggunakan buku teks import, kata ahli parlimen DAP.
Ahli parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata buku Super Minds dan Pulse 2 untuk murid Darjah Satu dan Dua berharga RM38 setiap satu, dan akan memakan sejumlah RM33 juta bagi menyediakan buku teks itu.
Katanya, pembelajaran bahasa Inggeris akan lebih susah kerana isi kandungan buku itu susah untuk dihadam murid Malaysia.
“Kos buku teks tempatan sekarang ini kurang dari RM10 senaskhah,” katanya yang juga jurucakap DAP bagi hal ehwal pendidikan, sains dan teknologi.
Zairil berkata demikian merujuk kepada keputusan kementerian untuk menyelaraskan kurikulum bahasa Inggeris dengan Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) iaitu panduan yang dibangunkan Majlis Eropah bagi mengukur kemahiran bahasa asing.
Buku teks sedia ada di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah akan diganti dengan buku-buku terbitan Cambridge University Press dan Macmillan.
Kata Zairil, pengumuman mengenai buku buku baharu untuk Darjah Satu dan Dua telah dibuat melalui pekeliling kementerian pada 16 Ogos dan 12 September lalu.
Lebih membimbangkan bila buku-buku ini tidak menggunakan isi kandungan tempatan, memandangkan contoh-contoh yang diberikan terlalu asing dan hanya sesuai dalam konteks British, katanya.
Memetik contoh daripada Pulse 2, beliau berkata, murid akan diminta “menonton Channel 4” siaran British untuk menjawab beberapa soalan.
“Dalam konteks rakyat Malaysia, ini sangat asing dan tak bermaksud apa-apa. Bagaimana murid-murid kita nak rujuk program TV itu sedangkan Channel 4 tidak disiarkan di Malaysia?
“Untuk memudahkan pembelajaran apa-apa subjek pun, kena ada rujukan budaya tempatan. Dalam hal ini, penggunaan budaya luar yang banyak akan mengelirukan murid dan juga guru,” katanya.
Dalam masa sama, Zairil turut mempertikaikan harga buku-buku ini memandangkan ianya “tidak sebenarnya diimport” tetapi dicetak di Malaysia dan dibekalkan oleh penerbit tempatan. – 23 November, 2017.
Komen