MULAI tahun depan, sekolah-sekolah akan menggunakan buku teks bahasa Inggeris yang diimport sebagai sebahagian daripada pembaharuan Kementerian Pendidikan, lapor The Star.
Kurikulum itu akan diselaraskan dengan Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) iaitu panduan yang dibangunkan Majlis Eropah bagi mengukur kemahiran bahasa asing.
“Ini adalah sebahagian daripada pembaharuan bahasa Inggeris kementerian bagi memastikan tahap kemahiran murid sejajar dengan piawaian antarabangsa,” Timbalan Menteri Pendidikan P. Kalamanathan dipetik sebagai berkata.
Penggunaan buku-buku itu akan dimulakan oleh kohort 2018 pra-sekolah, murid Tahun Satu dan Dua serta murid Tingkatan Satu dan Dua.
“Pembelian buku-buku itu disebabkan buku-buku terbitan tempatan tidak dapat memenuhi tahap CEFR yang baru,” katanya.
Tambah Kalamanathan lagi, guru-guru telah dilatih dan buku-buku tersebut sudah pun berada di semua sekolah.
Murid sekolah rendah akan menggunakan Super Minds, manakala Pulse 2 terbitan MacMillan untuk murid sekolah menengah.
The Star turut melaporkan, buku-buku tersebut dijangka berharga antara RM78 dan RM135.
Terdapat 40,000 guru-guru bahasa Inggeris di seluruh negara.
Setiausaha Agung Persatuan Guru, Harry Tan juga memberitahu The Star yang buat masa ini ramai di antara guru-guru tidak dilatih dengan Teaching English as a Second Language (TESL) tetapi dipilih oleh guru besar kerana mereka “lebih fasih” berbanding guru-guru lain.
“Memaksa guru-guru ini menjalani latihan CEFR akan menjadi tidak produktif kerana bahasa Inggeris bukanlah kepakaran mereka,” katanya. – 4 Oktober, 2017.
Komen