TINDAKAN Ketua Pembangkang Kedah Amiruddin Hamzah meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu tidak cukup impaknya sehingga menyebabkan ahli dan penyokong parti Islam itu mengikut jejak beliau, kata penganalisis.
Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, tindakan susulan perlu dilakukan bagi membuktikan ramai yang tidak bersetuju dengan pendekatan PAS yang mahu berkecuali sekarang.
“Jika disusuli dengan individu yang lain mungkin menjadi trend yang menjadi buah mulut,” katanya.
Menurut beliau, sehingga kini, ahli PAS yang pro Pakatan Harapan (PH) dan Amanah masih kekal dalam parti PAS.
Ini kerana, katanya, mereka belum yakin dengan Amanah dan kurang cocok dengan budaya politik Bersatu.
Ketua Pembangkang Kedah Amiruddin Hamzah berharap tindakan beliau meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu akan menjadi pembuka mata kepada PAS dan penyokongnya bahawa mereka tidak boleh bersendirian dalam pilihan raya umum akan datang.
Penulis politik, Mohd Sayuti Omar melihat daripada perspektif yang berbeza tentang kemasukan Amiruddin ke dalam Bersatu.
Penulis buku “Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah” itu berkata, penyertaan Amiruddin ke dalam Bersatu bukannya Amanah memperlihatkan kehebatan politik di Kedah.
“Ahli politik di Kedah ada kelas. Dia rapat dengan Amanah tetapi menyertai Bersatu kerana Bersatu yang memerlukan pemimpin seperti Amiruddin untuk membantu Mukhriz bukannya Amanah yang telah ramai pemimpin sebegitu.
“Sebab itu, saya anggap PAS Kedah umpama diserang ‘Bena Perang’ dengan tindakan Amiruddin,” kata Sayuti merujuk kepada sejenis penyakit padi di negeri jelapang padi itu.
Tindakan yang diambil oleh Amiruddin mendapat sokongan penuh dari kawan-kawannya dalam Amanah.
Pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh berkata, beliau berbincang dua jam dengan Amiruddin sebaik sahaja selepas ketua pembangkang DUN Kedah itu bertemu dengan pesuruhjaya PAS Kedah.
“Amiruddin bertemu dengan PJ (pesuruhjaya) Kedah jam 6 petang. Jam 8 malam kami bertemu dan berbincang panjang. Selepas itulah kita bersetuju beliau sertai Bersatu,” kata Ismail yang juga bekas exco kerajaan negeri Kedah kepada The Malaysian Insight.
Menurut Ismail, gelombang sokongan kepada PH di Kedah dipacu oleh sokongan orang Melayu kepada Bersatu kerana adanya Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri dan Mukhriz Mahathir, bekas menteri besar yang dibuang secara yang tidak adil dalam parti itu.
Namun begitu, katanya, Bersatu kekurangan pemimpin pertengahan yang boleh diketengahkan sebagai calon berwibawa dalam pilihan raya umum akan datang.
“Jadi apabila Amiruddin membuat keputusan itu, saya antara pihak yang awal menyokongnya untuk memperkuatkan PH di negeri ini,” kata Ismail.
Sementara itu, akar umbi PAS difahamkan oleh pemimpin mereka yang PAS akan menang di hampir semua kerusi Melayu dalam pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PH dan blok politik ketiga, Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS.
Menurut seorang bekas yang dipertua PAS kawasan yang tidak mahu dinamakan, keyakinan ini berdasarkan simulasi yang dibuat berasaskan culaan, kajian dan andaian yang dibuat PAS.
Apabila dikira berdasarkan andaian itu, PAS mendapati mereka akan menang di Kedah dalam pilihan raya umum nanti, kata sumber itu.
“Dari sini jugalah datangnya angka 40 kerusi kerusi Parlimen yang PAS jangka akan menang itu,” katanya.
Dalam Pilihan Raya 2013 lalu, calon PAS Nasir Zakaria memperolehi 16,212 undi berbanding 20,654 undi yang diterima calon BN di kerusi Parlimen Padang Terap.
Jika Bersatu mendapat 30% undi Umno, maka parti pimpinan Dr Mahathir Mohamad itu akan mendapat 6196 undi sahaja manakala BN akan mendapat 14,458.
Amanah pula akan mendapat 810 undi saja manakala PAS akan mendapat 15,402 berdasarkan parti serpihan itu hanya berjaya menarik 5% sahaja undi PAS.
Ini bermakna PH akan mendapat 7,206 sahaja (810 + 6196) undi, BN 14,458 manakala PAS akan mendapat 15,402 undi dan akan menang.
“Jika andaian itu benar, maka PAS akan benar-benar menang di Kedah dalam pilihan raya umum nanti, namun adakah andaian itu benar. Itu saya kurang pasti,” kata bekas pemimpin PAS itu.
Beliau bersetuju bahawa bukan semua pengundi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu adalah penyokong tegar PAS.
Sebahagian dari mereka adalah pengundi yang menolak BN.
“Yang kita tidak tahu, sebanyak manakah pengundi PAS dulu itu yang mengundi PAS atau kerana calon PAS adalah pembangkang,” katanya.
Dalam Pilihan Raya 2008 pula, PAS bersama Pakatan Rakyat menang di Kedah namun kalah dalam Pilihan Raya Umum 2013.
PAS berpecah dengan PKR dan DAP pada 2015 dan kini membentuk Gagasan Sejahtera bersama beberapa parti kecil. – 29 November, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan