Ketua pembangkang Kedah keluar PAS masuk Bersatu


Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah Amiruddin Hamzah (berbaju biru) hari ini meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu setelah diberitahu yang kerjasama parti Islam itu dengan Pakatan Harapan mustahil untuk berlaku lagi. Dalam gambar beliau bersama Mukhriz Mahathir pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook. – Gambar ehsan Bersatu, 26 November, 2017.

KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Amiruddin Hamzah mengatakan beliau menyertai Bersatu selepas diberitahu PAS yang “mustahil” untuk parti Islam itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan lagi.  

Amiruddin yang telah meletak jawatan Yang Dipertua PAS Kuala Kedah tahun lepas, hari ini mengumumkan keputusannya itu dalam sidang media yang diadakan jam 5.30 petang di Alor Setar hari ini.

Adun Anak Bukit itu mengatakan beliau menyertai Bersatu untuk membantu menamatkan kekuasaan Barisan Nasional di peringkat kerajaan persekutuan. 

Sesuatu yang tidak boleh dilakukan bersama PAS, dakwanya.

Amiruddin berkata baru-baru ini beliau bertemu kepimpinan PAS Kedah untuk memberitahu perlunya mereka bersama Pakatan Harapan kalau tidak sebagai parti komponen utama, paling kurang sebagai parti yang menjalankan kerjasama tetapi cadangan itu ditolak.

“Tetapi saya mendapat respon yang ia hampir-hampir mustahil berlaku,” kata Amiruddin pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Menjelaskan sebabnya menyertai Bersatu, bekas exco Kedah itu berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain jika mahu membantu menamatkan pemerintahan Barisan Nasional di peringkat negeri dan persekutuan.

“Dalam kita berhadapan PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) ini, saya ingat mood rakyat keseluruhannya adalah untuk membuat perubahan untuk menukar kerajaan sama ada di peringkat negeri ataupun di peringkat persekutuan.

“Di negeri-negeri kita dah ada sejarah bertukar kerajaan termasuk Kedah, tapi di persekutuan benda ini tak pernah berlaku,” kata bekas ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu kepada wartawan.

Amiruddin berkata beliau tertarik dengan penilaian Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan situasi ini wujud disebabkan pembangkang yang berpecah belah.

“Katanya dari segi sejarahnya, Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional nak kata kuat sangat pun tak lah kuat sangat tetapi pembangkang tidak pernah berada dalam satu ‘coalition’ yang padu untuk berdepan dengan BN,” kata Amiruddin.

Jurutera berusia 55 tahun itu mengatakan dua pilihan raya umum sebelum ini iaitu pada 2008 dan 2013 menunjukkan pembangkang boleh memenangi kuasa kerajaan persekutuan dalam pertandingan satu lawan satu.

“Pada pilihan raya lalu, Pakatan Rakyat berjaya mendapat undi popular melebihi Barisan Nasional tetapi oleh kerana ‘gerrymendering’ dari segi persempadan kerusi dan sebagainya, dapat undi popular lebih tetapi kerusi kurang. Kita harus dalam persepakatan yang padu untuk berdepan dengan Barisan Nasional, dan saya lihat ini boleh kita lakukan dalam Pakatan Harapan, dan saya memilih untuk bersama Bersatu untuk bersama Pakatan Harapan menentang Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.”

Mengenai peranannya sebagai ketua pembangkang negeri, Amiruddin mengatakan PAS mempunyai kerusi paling banyak dalam pembangkang dan perlu memutuskan ketua seterusnya.

“Saya hanyalah ketua pembangkang apabila dewan undangan negeri bersidang. Berdasarkan apa yang berlaku sekarang, saya tak fikir akan ada persidangan lagi sebelum pilihan raya umum akan datang.”

Timbalan Presiden Bersatu dan Ketua Bersatu Kedah Mukhriz Mahathir mengalu-alukan kemasukan Amiruddin mengatakan ia perkembangan baik untuk Bersatu dan PH.

“Ini adalah sesuatu yang baik untuk parti kerana beliau berpengalaman dan memimpin PAS di peringkat negeri dan kebangsaan,” kata Mukhriz.

Amiruddin yang merupakan bekas ahli Jawatankuasa Pusat PAS adalah antara mereka yang menggesa parti Islam itu untuk terus bersama Pakatan Rakyat.

Beliau sebelum ini menolak tawaran untuk jawatan ketua PAS Kedah menggantikan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar yang tewas pada pemilihan parti 2015-2017.

Mahfuz juga antara pemimpin PAS yang lantang menentang keputusan parti meninggalkan Pakatan Rakyat.  – 26 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen