DUA beradik yang ditahan polis kerana didakwa menyebabkan kebakaran tahfiz pada 14 September lalu telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua bulan selepas mengaku bersalah atas dakwaan salah guna dadah.
Hakim Majistret Zilfinaz Abbas berkata, hukuman itu bermula sejak mereka ditahan.
Beliau sebelum ini menolak cadangan pihak pendakwa untuk menghantar kedua kanak-kanak itu ke sekolah pemulihan Henry Gurney di Melaka berikutan cadangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat berkaitan laporan tingkah laku mereka berdua.
Zilfinaz turut meletakkan dua beradik itu di bawah pemerhatian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tempoh dua tahun.
“Mereka perlu melaporkan diri kepada AADK setiap bulan selama dua tahun. Ibu mereka perlu tandatangan perjanjian dan menemani mereka ke AADK,” kata Haijan Omar, peguam yang mewakili dua beradik itu.
Haijan berkata kedua mereka dijangka dibebaskan hari ini.
Pagi tadi, Zilfinaz telah membebaskan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dari tuduhan dadah. Kanak-kanak itu juga antara yang didakwa terlibat menyebabkan kebakaran tahfiz itu.
Peguam juvana, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memberitahu wartawan, pihak pendakwa telah menarik balik tuduhan terhadap kanak-kanak itu selepas keputusan ujian air kencing kanak-kanak itu didapati negatif.
“Keluarganya beritahu saya mereka bersyukur anak mereka tidak terlibat dengan dadah.
“Klien saya sekarang ini sudah bebas dari sebarang tuduhan berkaitan dadah,” katanya kepada media selepas prosiding.
Kanak-kanak itu dan dua beradik itu antara tujuh remaja berusia antara 12 hingga 18 tahun yang ditahan berikutan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang berlaku pada awal pagi 14 September lalu.
Kejadian itu meragut 23 nyawa pelajar termasuk dua orang guru.
Dalam pada itu, tertuduh Mohamad Shahrul Nizam Ikmal Shafi-in ,18, mengaku bersalah di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar atas dua pertuduhan mengambil dadah jenis serupa di tempat, masa dan tarikh yang sama. – 28 November, 2017.
Komen