MAHKAMAH Masjistret Kanak-kanak Kuala Lumpur memutuskan kanak-kanak tertuduh berusia 12 tahun yang terlibat dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung yang mengorbankan 23 nyawa September lalu bebas daripada pertuduhan dadah.
Peguam tertuduh, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memberitahu pemberita pihak pendakwa menarik balik kes terhadap tertuduh selepas laporan patologi (kimia) menunjukkan keputusan negatif.
“Keluarga beritahu saya, mereka sangat bersyukur kerana anak mereka tidak terlibat secara langsung dengan kes dadah tersebut.
“Dan kini anak guam saya bebas dari pertuduhan memasukkan dadah jenis ganja, katanya kepada media selepas prosiding disebut dihadapan Hakim Majistret Zilfinaz Abbas.
Noor Svetlana berkata laporan itu dibuat daripada makmal Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) menafikan keputusan saringan awal yang dibuat di balai polis sebelum ini.
“Sebelum itu anak guam saya positif dadah pada ujian saringan awal yang dibuat di balai polis. Jadi, keputusan makmal HKL digunakan,” katanya lagi.
Sementara itu, Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 3 Januari depan bagi kes dua remaja 16 tahun yang didakwa membunuh 21 pelajar dan 2 warden.
Manakala bagi pertuduhan dadah pula, seorang tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan manakala seorang lagi mohon dibicara selepas mengaku tidak bersalah memasukkan dadah di dalam badan.
Kedua-dua tertuduh masing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, dua lagi tertuduh yang merupakan adik beradik, masing-masing berusia 16 dan 17 tahun akan menerima hukuman petang ini selepas mengaku bersalah mengambil dadah.
Sebelum ini, tertuduh berumur 12 hingga 17 tahun berdepan pendakwaan memasukkan dua dadah jenis ganja dan syabu dalam badan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), kira-kira 11.35 pagi pada 16 September lalu.
Dalam pada itu, tertuduh Mohamad Shahrul Nizam Ikmal Shafi-in ,18, mengaku bersalah di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar atas dua pertuduhan mengambil dadah jenis serupa di tempat, masa dan tarikh yang sama. – 28 November, 2017.
Komen