Bubarkan AADK, Malaysia perlukan 'Duterte'  untuk perangi dadah


Amin Iskandar

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin berkata Malaysia boleh menuju negara yang maju membangun dengan mecontohi cara Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang melancarkan perang anti dadah sebaik sahaja mengambil alih kuasa pada 2016. – Gambar EPA, 28 November, 2017.

SEORANG ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mencadangkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dibubarkan kerana gagal memerangi dadah dan Malaysia memerlukan seorang “Duterte” untuk berjaya.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) merujuk kepada Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang melancarkan perang anti dadah sebaik sahaja mengambil alih kuasa pada 2016.

Katanya, Malaysia memerlukan orang seperti Duterte kerana negara ini sudah jadi pusat pengeluaran dadah.

“Saya cadangkan AADK bubar sajalah. Buang duit rakyat, buang masa. Tak ada hasil. Di kawasan saya, dadah menghancurkan masa depan anak negara kita.

“Di Filipina, apabila Duterte masuk, sekarang boleh dikira zero drug (sifar dadah). Kenapa kita tak boleh ikut cara Filipina? 

“Mana-mana yang penagih dadah, kita penjara without trial (tanpa bicara). Mana-mana pengedar, tembak dia. Kita boleh menuju negara yang maju membangun,” kata Bung Moktar di Dewan Rakyat hari ini.

Duterte melancarkan perang melawan dadah di seluruh Filipina sejak beliau jadi presiden pada akhir Jun 2016, namun dikritik hebat di dalam dan di luar negara kerana disifatkan melanggar hak asasi manusia. 

Sehingga Mac lalu, dianggarkan lebih kurang 14,000 orang terbunuh dalam kempen perang anti dadah yang digerakkan oleh Duterte.

Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mencelah, mempersoalkan Bung Moktar, bertanyakan, apakah beliau serius dengan cadangan itu.

“Tadi ada menyatakan kalau ada pengedar, tembak saja. 

Are you serious? Apakah ini satu perkara serius, adakah Kinabatangan percaya itu adalah cara yang baik?” soalnya.

Bung Moktar menjawab, mempertahankan cadangannya mengatakan beliau serius dengan perkara itu.

“Untuk kepentingan masa depan bangsa dan negara kita. Kita tidak mahu pengisian bangsa negara kita terdiri daripada mereka-mereka yang tidak bermaya, lemah longlai dan tidak beridea.

“Mana-mana pengedar tembak. Tengok macam mana hebat Filipina sekarang,” katanya.

Menjawab cadangan Bung Moktar itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata, susah untuk melaksanakan cadangan untuk menutup AADK.

“Kalau tutup AADK siapa nak buat penguatkuasaan kepada penagih dadah?

“Soal menyokong tindakan Duterte untuk menembak penagih itu merupakan satu dasar yang bertentangan dengan normal antrabangsa. 

“Kita pun tidak mahu membuat tindakan yang boleh menjejaskan human rights ataupun hak asasi manusia,” katanya.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, sekiranya perkara ini dibuat di Malaysia, ia akan memberikan impkikasi kepada pelbagai pihak antarabangsa termasuk sekatan ekonomi. 

“Kerajaan Filipina Duterte baru buat keputusan bahawa semua aktiviti dadah dipindahkan daripada pihak polis kepada agensi dadah kebangsaannya. 

“Saya rasa itu tekanan daripada pihak antarabangsa untuk beliau ubah dasarnya,” katanya. – 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tidak perlu kita buat sama lampau. Segala perbuatan lampau adalah tidak kemanusiaan.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan