DR Mahathir Mohamad berkata beliau masih ahli Bersatu dan kekal menjadi pengerusi parti.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini, Dr Mahathir berkata Setiausaha Kerja Muhammad Suhaimi Yahya tidak ada kuasa mengeluarkan surat “memecatnya” dan empat lagi ahli parti itu.
“Saya ke pejabat hari ini untuk berjumpa Suhaimi bagi meminta penjelasan tetapi saya diberitahu dia tak dapat berjumpa saya.
“Kemudian saya diberitahu dia boleh berjumpa saya tetapi bersama Hamzah Zainuddin. Bagaimanapun kedua-duanya tiba-tiba tak hadir. Saya kecewa, saya mahu tahu sama ada saya masih ahli Bersatu,” kata Dr Mahathir.
Hamzah adalah setiausaha agung dilantik Presiden Muhyiddin Yassin. Beliau dan Suhaimi dikaitkan dengan kem Muhyddin.
Empat Ahli Parlimen Bersatu yang juga gugur keahlian parti ialah Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun), Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).
Alasannya, kelima-lima mereka tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu. Mereka juga duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.
Dr Mahathir turut berkata yang Suhaimi melampaui batas kuasanya selaku setiausaha kerja.
“Suhaimi bertindak di luar kuasanya dan kerana itu, dia dipecat daripada jawatannya dan Bersatu,” tambahnya.
Dr Mahathir turut mengumumkan pelantikan Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Sazmi Miah menggantikan Suhaimi selaku setiausaha kerja.
Hari ini juga, Dr Mahathir menerusi surat dikeluarkan peguamnya berkata beliau akan merujuk “pemecatannya” kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi meminta bantuan agensi penyelia persatuan negara itu menyelesaikan kemelut dalaman Bersatu.
Dalam surat yang dihantar melalui peguamnya, Dr Mahathir menolak keras tindakan parti memberhentikan keahliannya kerana ia bertentangan dengan perlembagaan parti.
“Anak guam kami tidak pernah mengisytiharkan beliau keluar Bersatu.
“Anak guam kami tidak pernah menyertai mahupun menjadi ahli mana-mana parti,” kata peguamnya Haniff Khatri Abdulla dalam surat itu, yang diserahkan kepada RoS hari ini. – 29 Mei, 2020.
Komen