SURUHAN Pencegahan Rasuah Malaysia menafikan laporan mendakwa agensi itu adalah penerima sistem perisikan dibeli daripada syarikat Israel ketka pentadbiran Najib Razak, dilaporkan MalaysiaKini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata beliau malah tidak pernah mendengar nama syarikat itu dan tidak pernah berurusan dengan syarikat itu atau mendapatkan sebarang sistem daripadanya.
“Saya kena jelaskan betul-betul. Saya tak tahu dari mana cerita ini timbul dan siapa yang tulis berita palsu sebegini,” katanya dipetik MalaysiaKini.
Azam ketika itu bukan ketua SPRM tetapi bertanggungjawab dalam urusan operasinya.
“Saya ketika itu bukan ketua pesuruhjaya SPRM, tetapi jika ada pembelian sebegitu saya akan tahu kerana saya bertanggungjawab untuk operasi.
“Tidak ada pembelian yang dibuat oleh ketua pesuruhjaya ketika itu. Jika ada pun rancangan, ia akan dibentangkan dan sebagainya (ikut prosedur),” katanya lagi.
Potral berita, Calcalist, sebelum ini melaporkan yang sebulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, pentadbiran Najib Razak didakwa menandatangani perjanjian pembelian sistem pengumpulan maklumat dan analisis data pembangkang.
Perjanjian bernilai AS$1.5 juta itu ditandatangani pada Aprl 2018 dengan kod nama “Projek Magnum”.
Syarikat yang membangunkan sistem dan berurusan dengan kerajaan Malaysia dikenali sebagai Senpai Technologies Ltd, sebuah syarikat keselamatan siber Israel.
Senpai Technologies diasaskan pada 2016 oleh Roy Shloman, Guy David, Eric Banoun dan Omri Raiter.
Menurut dokumen mahkamah yang diperolehi dan dilihat portal itu, sistem itu akan digunakan oleh agensi perisikan Malaysia, Cawangan Khas (SB) untuk merisik pembangkang.
SPRM dan PDRM adalah antara agensi yang dinamakan sebagai penerima sistem itu.
Setahun selepas PRU14, Senpai bersedia untuk menandatangani kontrak baharu dengan SB yang memerlukan perubahan matlamat penggunaan sistem kerana BN sudah kalah, menurut komunikasi Senpai dengan Calcalist.
“Pelanggan sudah menerima dokumen dan kami menunggu maklum balas mereka,” kata Shloman yang membincangkan isu “Magnum” dalam email dihantar kepada pengasas bersama syarikat David, Raiter dan Banoun pada 10 Jun 2019.
“Seperti yang anda tahu, selepas pilihan raya banyak benda berubah dan menjadi lebih rumit,” kata Shloman. – 29 Mei, 2020.
Komen