Najib upah syarikat Israel intip pembangkang pada PRU14


Pentadbiran Najib Razak didakwa menandatangani perjanjian mendapatkan sistem mengumpul maklumat dan menganalisis data aktiviti pembangkang menjelang PRU14, lapor portal Calcalist. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2020.

PENTADBIRAN Najib Razak didakwa menandatangani perjanjian mendapatkan sistem mengumpul maklumat dan menganalisis data aktiviti pembangkang sebulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), lapor portal Calcalist.

Perjanjian dengan kod nama nama “Project Magnum” itu bernilai AS$1.5 juta dan ditandatangani pada April 2018.

Sistem dibangunkan oleh sebuah syarikat cybersecurity Israel, Senpai Technologies Ltd, menurut Calcalist.

Senpai Technologies diasaskan bersama oleh Roy Shloman, Guy David, Eric Banoun dan Omri Raiter pada 2016.

Mengikut dokumen yang dilihat portal berita berkenaan, sistem yang dibangunkan syarikat Israel itu adalah untuk kegunaan intipan polis Cawangan Khas (SB) untuk memantau aktiviti pembangkang. 

Laporan Calcalist seterusnya menyebut pengasas bersama Senpai berkata setahun selepas PRU14 Senpai bakal menandatangani perjanjian baharu dengan SB, dengan meminda matlamat kontrak asal susulan kekalahan Barisan Nasional.

“Pelanggan terima dokumen dan kami sedang menunggu maklum balas,” Shloman dipetik berkata, merujuk kepada “Magnum” dalam e-mel yang dihantar kepada pengasas bersama David, Raiter dan Banoun pada 10 Jun 2019.

“Seperti yang anda tahu, banyak perkara berlaku selepas pilihan raya dan ia menjadi sedikit rumit.

“Berdasarkan proses pengurusan pelanggan dan beberapa sidang video bersama mereka, saya rasa kami akan ke KL.”

Shloman menerusi e-mel berkata tujuan rancangan ke Kuala Lumpur itu adalah untuk bertemu sendiri pelanggan untuk menjalankan sesi soal jawab (Q&A), selain memberi panduan cara menggunakan sistem mereka.

Calcalist juga melaporkan Senpai memperoleh bayaran antara AS300,000 dan AS$4,000 dari SB, antara AS$2juta dan AS$2.5 juta dari Pejabat Perdana Menteri, antara AS$800,000 dan AS$2.2 juta dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa pembelian fasa kedua. – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen