Sekolah, sektor sosial dibuka semula jika kes Covid-19 kekal rendah, kata KP Kesihatan


Bede Hong

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata sekolah dan tempat hiburan boleh diberikan kebenaran untuk dibuka semula sekiranya jumlah jangkitan Covid-19 baharu kekal rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.

SEKOLAH dan tempat hiburan boleh diberikan kebenaran untuk dibuka semula sekiranya jumlah jangkitan Covid-19 baharu kekal rendah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham.

Menurutnya keputusan mengenai perkara berkenaan akan dibuat pada minggu pertama Jun.

Dr Noor Hisham hari ini mengumumkan 10 kes baharu Covid-19 dalam masa 24 jam terakhir yang merupakan angka paling rendah sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac.

Sejak 4 Mei negara ini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dijadualkan berakhir pada 9 Jun.

Semalam kementerian mencatatkan 15 kes baharu tetapi Dr Noor Hisham berkata walaupun angka itu sesuai dengan unjuran Kementeran Kesihatan, adalah menjadi tanggungjawab umum untuk memastikan ia rendah.

Cuti Hari Raya bermula pada 24 Mei, sementara Sabah dan Sarawak akan meraikan hari Gawai pada Isnin ini. 

Kementerian Pendidikan telah memulakan pemeriksaan di sekolah dengan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengunjungi dua sekolah sebelum cuti Hari Raya.

Dalam catatan Facebook minggu lalu, Radzi berkata bahawa beliau baru-baru ini bertemu dengan pegawai Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara untuk membincangkan pembukaan semula sekolah.

Bagaimanapun, guru masih belum mendapat garis panduan untuk memulakan semula kelas. – 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen