KEMENTERIAN Pendidikan sudah mula memeriksa sekolah untuk menilai sama ada ia bersedia untuk dibuka semula.
Dalam catatan di Facebooknya semalam, Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin mendedahkan yang beliau melawat Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya dan SMK Bandar Baru Bangi, Selangor pada 20 Mei lalu untuk menilai sama ada kedua-dua sekolah itu bersedia mematuhi garis panduan diberikan KKM dan Kementerian Kesihatan untuk dibuka semula.
“Apa yang penting KPM ingin memastikan semua sekolah mematuhi garis panduan yang telah disediakan,” katanya.
Jelas Radzi lagi, Sekolah Seri Puteri yang merupakan sekolah berasrama penuh dipilih untuk dinilai pelaksanaan persediaan di asrama, dewan makan dan asrama. Manakala, SMK Bandar Baru Bangi yang merupakan sekolah harian untuk aspek persiapan kelas, kantin dan persekitaran sekolah.
“Dua sekolah ini adalah antara yang dipilih untuk melihat pelaksanaan garis panduan yang telah disediakan. Setiap pergerakan pelajar diperincikan. Sebarang perkara yang perlu penambahbaikan telah diberi perhatian,” katanya.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata antara syarat sekolah dibuka adalah hanya maksimum 20 pelajar dibenarkan berada dalam kelas, tiada perhimpunan dan kantin akan menyediakan makanan berbungkus untuk pelajar.
Beliau juga sudah bertemu KKM dan Majlis Keselamatan Negara awal minggu ini untuk membincangkan isu pembukaan dan SOP untuk sekolah selepas perintah kawalan pergerakan dibatalkan.
Sementara itu, The Star melaporkan walaupun pemeriksaan sekolah sedang dijalankan, guru masih belum menerima garis panduan dan SOP untuk kelas disambung semula.
“Ia masih perbincangan dalaman Kementerian Pendidikan,” kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan dipetik akhbar itu. – 24 Mei, 2020.
Komen