KETUA Audit Negara Nik Azman Abdul Majid menunjukkan progres baik terhadap rawatan dan tidak menunjukkan gejala serius jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Beliau sedang menjalani isolasi dan bertindak balas dengan baik (terhadap rawatan) dan tidak bergejala,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Azman disahkan positif Covid-19 selepas hadir mesyuarat pasca mesyuarat Kabinet dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lepas, menyebabkan semua individu yang hadir mesyuarat itu perlu menjalani kuarantin 14 hari bermula Jumaat lepas.
“Seperti yang anda tahu, semua ahli mesyuarat pasca mesyuarat Kabinet disahkan negatif. Orang (yang disah positif) sudah dikenal pasti dan dirawat.
“Kami memantau rapi…tidak ada gejala; tidak demam, tidak selesema dan batuk-batuk.
“Beliau tidak ada apa-apa tetapi perlu patuh (dengan rawatan berterusan dan kuarantin),” katanya lagi.
Dr Noor Hisham tidak menamakan Azman pada sidang media tadi, tetapi Jabatan Audit Negara pada Sabtu mengesahkan ketua audit disahkan positif Covid-19.
Tiga puluh lima pegawai kanan kerajaan termasuk Muhyiddin hadir mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri pada Khamis lepas.
Antara pegawai kanan yang sedang menjalani kuarantin termasuklah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki. – 27 Mei, 2020.
Komen