35 yang mesyuarat dengan Ketua Audit Negara negatif Covid-19, kata KP Kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menjalankan pengesanan kontak dengan memfokuskan kepada anggota keluarga dan semua yang menghadiri mesyuarat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2020.

KESEMUA 35 individu lain termasuk perdana menteri didapati negatif Covid-19 selepas pertemuan dengan ketua audit negara yang dijangkiti penyakit itu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, ujian swab ke atas semua individu terbabit didapati negatif dan dikenakan kuarantin.

“Pegawai itu sudahpun dimasukkan ke hospital. Kita jalankan pengesanan kontak dengan memfokuskan kepada anggota keluarga dan semua yang menghadiri mesyuarat itu,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri semalam menyebut, Muhyiddin Yassin menjalani kuarantin selepas didapati terdedah kepada Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid.

Dr Noor Hisham berkata, Nik Azman didapati memakai topeng muka dalam mesyuarat pasca-Kabinet pada Khamis lalu, yang dipercayai mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain.

Jabatan Audit Negara hari ini mengesahkan Nik Azman positif Covid-19 dan merupakan antara individu yang menyertai mesyuarat pasca-Kabinet bersama Muhyiddin.

Perdana menteri dan kesemua individu yang menyertai mesyuarat tersebut menjalani kuarantin bermula semalam dan bangunan mesyuarat di Putrajaya juga dibasmi kuman.

Dalam sidang media hari ini, Dr Noor Hisham turut mengummkan 48 kes baharu dan 21 daripadanya dikesan di Pusat Tahanan Imigresen Semenyih yang dikesan sebagai kluster jangkitan baharu.

Sebanyak 1,158 kes masih aktif dirawat dan sembilan pesakit kini ditempatkan di unit rawatan rapi, ima daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 23 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen