Kerajaan akan siasat dakwaan penduduk Pudu sukar dapat makanan


Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan bahawa penduduk di Pudu mendapati pergerakan mereka dihadkan melebihi apa yang diberitahu sebelum ini, susulan penguatkuasaan PKP separa ketat itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2020.

KERAJAAN akan meneliti laporan berkenaan kesukaran penduduk sekitar Pudu untuk mendapatkan bekalan makanan ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) separa ketat di sana, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan itu berkata tiada PKP Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Saya tak percaya. Okey, sata tak tahu sama ada sekitar Pudu (dikenakan) PKPD. Sekitar Pudu tidak pernah dikenakan PKPD.

“Sata tidak tahu sebab apa (di sebalik aduan tersebut),” katanya ketika sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

“Semalam hari raya pertama…Mungkin sebahagian peniaga tidak buka?” katanya, sambil menambah beliau akan mendapatkan maklumat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkenaan isu tersebut.

“Jadi saya akan periksa, dan perinciannya saya akan maklumkan,” katanya lagi.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan bahawa penduduk di Pudu mendapati pergerakan mereka dihadkan melebihi apa yang diberitahu sebelum ini, susulan penguatkuasaan PKP separa ketat itu.

Kawasan di bawah perintah sekatan itu melibatkan sekitar pasar Pudu dan termasuk Jalan Pudu, Jalan Kancil, Jalan Pasar, Jalan Landak, Lorong Brunei 2 dan Lorong Brunei 3.

Keputusan memperkenalkan sekatan di sini susulan pengesanan 30 kes Covid-19, semuanya melibatkan pekerja asing.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Johnson, berkata perintah sekatan dikenakan tanpa sebarang notis, dan tiada waktu untuk merancang atau membuat persiapan bagi mendapatkan makanan dalam tin tambahan.

Memandangkan beliau yang berusia 45 tahun itu tinggal di bilik sewa, beliau bergantung kepada makanan yang dibeli dari restoran.

“Tiba-tiba pada waktu malam sekitar jam 12 malam, polis dan tentera datang dan memasang semua wayar ini dan menyekat kawasan itu.

“Jika mereka beritahu penduduk lebih awal, saya akan berusaha menyimpan beberapa makanan dalam tin. Saya tidak boleh memasak kerana saya hanya menyewa bilik,” katanya.

Beliau tidak boleh keluar untuk membeli makanan atau bahkan pergi ke bank untuk mengeluarkan wang tunai, kerana polis dan tentera yang melakukan rondaan di kawasan itu tidak membenarkan sesiapa keluar. – 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen