Penduduk Pudu mengeluh sukar dapat bekalan makanan


Ravin Palanisamy

Penduduk sekitar kawasan Pudu mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan dengan perintah sekatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2020.

PENDUDUK di Pudu yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) separa ketat kerana jangkitan Covid-19, mendapati pergerakan mereka terbatas, walaupun mereka diberitahu masih boleh masuk dan keluar dari kawasan tersebut dengan alasan yang sah.

Akibatnya, mereka sukat mendapatkan bekalan makanan dan meminta bantuan kerajaan.

Mereka yang tinggal di tingkat atas lot kedai di Jalan Pudu dan Jalan Landak mendapati kawasan dipagar wayar berduri dan tidak dibenarkan meninggalkan kawasan untuk membeli makanan atau berjalan keluar ke bank berhampiran.

Seorang penduduk yang memberikan namanya sebagai Ah Keong berkata ini bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh pihak berkuasa selepas tindakan pertama kali dilaksanakan pada tengah malam 15 Mei.

Ah Keong, yang tinggal di sini selama lebih 30 tahun, berkata beliau dan jirannya menghadapi masalah kekurangan makanan.

Sebilangan kumpulan masyarakat sivil mengedarkan makanan dan bekalan yang dimasak, tetapi hanya untuk dua kali sehari, katanya.

“Ini hanya untuk makan tengah hari dan malam sahaja. Kadang kala, kuantiti tidak mencukupi.

“Bolehkah kerajaan melakukan sesuatu tentang ini dan memberi lebih banyak makanan untuk kami?

“Sebilangan penduduk di sini adalah warga tua, seperti saya,” kata lelaki berusia 75 tahun itu kepada The Malaysian Insight.

Kawasan di bawah perintah sekatan itu melibatkan sekitar pasar Pudu dan termasuk Jalan Pudu, Jalan Kancil, Jalan Pasar, Jalan Landak, Lorong Brunei 2 dan Lorong Brunei 3.

Keputusan memperkenalkan sekatan di sini susulan pengesanan 30 kes Covid-19, semuanya melibatkan pekerja asing.

Seorang penduduk lain, yang hanya mahu dikenali sebagai Johnson, berkata perintah sekatan dikenakan tanpa sebarang notis, dan tiada waktu untuk merancang atau membuat persiapan bagi mendapatkan makanan dalam tin tambahan.

Memandangkan beliau yang berusia 45 tahun itu tinggal di bilik sewa, beliau bergantung kepada makanan yang dibeli dari restoran.

“Tiba-tiba pada waktu malam sekitar jam 12 malam, polis dan tentera datang dan memasang semua wayar ini dan menyekat kawasan itu.

“Jika mereka beritahu penduduk lebih awal, saya akan berusaha menyimpan beberapa makanan dalam tin. Saya tidak boleh memasak kerana saya hanya menyewa bilik,” katanya.

Beliau tidak boleh keluar untuk membeli makanan atau bahkan pergi ke bank untuk mengeluarkan wang tunai, kerana polis dan tentera yang melakukan rondaan di kawasan itu tidak membenarkan sesiapa keluar.

Tanpa wang, beliau tidak boleh memesan makanan dihantar kepadanya.

“Sebelum ini mereka kata kami boleh keluar jika mempunyai alasan yang kuat tetapi sekarang kami sama sekali tidak boleh keluar.

“Pihak berkuasa tidak membenarkan walaupun kami ingin keluar dan membeli makanan atau mengeluarkan wang. Bukankah ini alasan yang kukuh?”

Sebahagian warga asing di kawasan Pudu beratur untuk menjalani ujian Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2020.

Johnson juga mengusahakan warung mi tetapi terpaksa menutupnya kerana pembekal tidak dapat menghantar barang-barang kerana lokasi gerai di dalam kawasan sekatan.

Kawasan ini diletak bawah sekatan selama lebih seminggu. Ketika mengumumkannya minggu lalu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata pasar basah Pudu dan kawasan sekitarnya tidak dikenakan sekatan sepenuhnya, dan penduduk dibenarkan bergerak jika mempunyai alasan yang sah.

Sekatan separa ketat ini bertujuan membolehkan pihak berkuasa memastikan semua penduduk dan pekerja asing menjalani ujian Covid-19.

Dalam lawatan ke kawasan itu, The Malaysian Insight mendapati hanya beberapa kedai makan di dalam kawasan itu dibuka, tetapi tiada pelanggan di dalamnya.

Penduduk boleh berbual dan berjalan-jalan selagi mereka tidak melepasi wayar berduri.

Md Nazmul, seorang pekerja binaan asing berusia 35 tahun, berkata pekerja migran mengalami kesukaran mendapatkan makanan.

Jumlah makanan yang terhad diedarkan oleh kumpulan masyarakat sivil dan sebilangan pendatang asing tidak menerimanya, kata seorang warga Bangladesh yang sudah bekerja di sini selama 13 tahun.

“Kami tidak bernasib baik untuk selalu mendapat makanan, walaupun beberapa orang dan kumpulan datang memberi bantuan. Penduduk tempatan diberi keutamaan dan warga asing biasanya yang terakhir mendapatkan makanan,” katanya.

Beliau dan pekerja migran lain memasak makanan ringkas dengan beberapa barang runcit yang masih ada.

Baru-baru ini, ahli Parlimen Bukit Bintang menyumbangkan kira-kira 200 set beras dan telur kepada mereka di kawasan yang di bawah perintah sekatan.

Bagaimanapun, perkara itu tidaklah begitu menyusah bagi pemilik kedai perkakasan See Tho, 45, yang mempunyai adik-beradik di luar kawasan Pudu dan sering menghantar makanan kepadanya dan ibu mereka yang berusia 73 tahun.

“Makanan tidak menjadi masalah bagi saya. Apa yang lebih penting perintah sekatan ini digunakan untuk menguji semua orang untuk Covid-19,” kata penduduk Pudu yang tinggal lebih 30 tahun di situ, sambil menambah beliau berharap ia akan ditarik balik tidak lama lagi. – 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen