Pengusaha songkok tradisi terakhir di Pulau Pinang hanya mampu bertahan


Zaim Ibrahim

Haja Mohideen Mohd Shariff mula belajar buat songkok sejak berusia 12 tahun. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

WALAUPUN usianya masuk 72 tahun, Haja Mohideen Mohd Shariff masih belum lelah mengayuh mesin jahit jenama Singer yang seusia dengannya.

Ketika ditemui di kedainya di Lebuh King, Georgetown, beliau sedang menyiapkan tempahan songkok pelanggannya untuk dipakai ketika Hari Raya.

Bagaimanapun, tempahan untuk musim raya kali ini tidaklah besar. Perniagaannya juga terjejas akibat pandemik Covid-19.

Haja Mohideen yang mula mewarisi perniagaan songkok daripada ayahnya sejak tahun 1975 itu berkata biasanya mendapat tempahan sehingga 600 buah songkok untuk musim raya.

Bagaimanapun kali ini beliau hanya beliau hanya mendapat 200 tempahan sahaja seperti pada bulan-bulan lain disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ,

“Pendapatan bulanan dalam RM1,500 hingga RM1,800. Bulan-bulan biasa, kita dapat jual dalam 200 biji dan jika bulan Syawal, boleh mencapai hingga 600 biji.

“Tetapi akibat PKP, permintaan kami untuk Hari Raya merosot hingga 200 biji sahaja,” katanya kepda The Malaysian Insight.

Malah pada tahun-tahun sebelumnya beliau dapat menutup kedai lebih awal, pada hari puasa ke-27 apabila semula songkok habis terjual.

“Tetapi tahun ini nampak gaya tidaklah, kami perlu lebih banyak masa siapkan tempahan,” katanya ketika ditemui di kedai kecilnya bersebelahan Masjid Nagore di Lebuh King.

Kedai songkok jahitan tangan Haja Mohideen Mohd Shariff di Lebuh King, Georgetown adalah yang terakhir di Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

Jelasnya, keputusan kerajaan melarang aktiviti merentas negeri juga menyebabkan pendapatannya terganggu kerana ramai yang tidak dapat pulang berhari raya dan membeli kelengkapan.

“Orang luar Pulau Pinang lebih banyak buat tempahan. Saya ada pelanggan-pelanggan tetap termasuk yang ada kampung di sini.

“Tahun ini, pelanggan-pelanggan itu tak dapat tempah dengan kami. (Hasil) kami susut dalam 30% tetapi syukurlah, ada perniagaan lain terus tutup kedai,“jelasnya.

Haja Mohideen Mohd Shariff mula menjual songkok yang dibuat sendiri hasil tunjuk ajar bapanya sejak berusia 12 tahun, sebaik tamat persekolahan.

Perusahaan songkok buatan tangan jenama Songkok OSM itu dimulakan oleh ayahnya Mohd Shariff Mohideen Rawhter pada tahun 1936 di tapak sama yang diteruskan pada masa ini.

Kadar sewa bulanan serendah RM200 yang dibayar kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan pelanggan tetap itulah membolehkan perniagaan itu bertahan sehingga 84 tahun.

Haja Mohideen berkata, beliau membantu bapanya dengan rela hati dan kemudiannya meneruskan perniagaan itu apabila tidak berjaya mendapatkan pekerjaan lain.

“Habis saja waktu sekolah saya terus ke kedai. Tengok ayah buat songkok dan belajar perlahan-lahan.

“Saya mulanya mahu cari pekerjaan lain yang lebih stabil tetapi minta kerja sana sini tak dapat, saya sambung saja jual songkok ini,” jelasnya.

Haja Mohideen Mohd Shariff masih menjahit songkok menggunakan mesin jahit Singer yang seusianya. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

Dalam tempoh operasi dari jam 11 pagi hingga 9 malam itu, mampu menyiapkan hingga 10 buah songkok setiap hari sambil dibantu menantunya, Abdul Kadir Mohd Mydin, 44.

Mereka membahagikan tugasan supaya lebih banyak songkok dapat disiapkan. Setiap satunya dijual pada harga antara RM20 hingga RM30.

Pelanggan hanya perlu datang ke kedai mengukur ukur lilit kepala dan menempah jenis songkok kegemaran mereka.

Kini, kedai itu satu-satunya kedai songkok buatan tangan yang masih wujud disebabkan kekurangan permintaan. Pesaingnya pula tiada waris yang sanggup meneruskan perniagaan.

“Tahun demi tahun, orang makin kurang pakai songkok. Songkok-songkok ini juga beli sekali boleh tahan sampai empat tahun.

“Daripada segi pendapatan, hidup kita memang tidak mewah tapi masih boleh hidup dengan sederhana,” katanya yang menjual songkok dengan harga RM20 hingga RM30.

Jelasnya, membuat songkok bukan sekadar hanya perniagaan tetapi satu usaha untuk mengekal warisan itu di Pulau Mutiara, memandangkan beliau satu-satunya pembuat songkok di negeri itu.

“Zaman saya kanak-kanak, ada tujuh ke lapan kedai songkok buatan tangan yang berdekatan. Kemudian kedai-kedai songkok berkembang di Bayan Lepas, Batu Feringghi, dan Seberang Perai.

“Sekarang sejak lebih 10 tahun lepas, hanya saya seorang yang tinggal kerana perniagaan mereka tiada waris yang mahu sambung.

“Songkok ini warisan kita. Kita kalau pakai Baju Melayu kena pakai songkok, kalau tak..tak penuh,” tambah beliau.

Selain songkok Melayu, Mohideen turut membuat tarbus, songkok Pakistan dan songkok Afghanistan.

“Saya pun ambil tempahan songkok Melayu Johor yang lebih tinggi, kebanyakannya ditempah oleh kumpulan penari tradisional.

“Tarbus juga biasanya ditempah oleh kumpulan boria. Pelancong Eropah juga berminat dengan tarbus sebab kata mereka, di negara mereka harga lebih mahal. Saya jual RM35 sahaja,” ujar beliau.

Mohideen turut berkata, beliau kini menaruh harapan kepada menantunya itu untuk mewarisi perusahaan pembuatan songkok.

“Saya harap menantulah, kalau menantu lanjutkan perniagaan ini dengan baik, kedai ini hidup lah,” katanya. – 24 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen