Mahkamah bebaskan kes belon, penari tidak bersalah
PENARI Bilqis Hijjas hari ini dibebaskan daripada tuduhan menghina Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor dengan menjatuhkan belon dalam sebuah majlis dihadiri mereka pada Ogos 2015.
Hakim Mahkamah Kuala Lumpur, Muhamad Faizal Ismail membuat keputusan itu hari ini dengan berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kelakuan Bilqis itu menjatuhkan belon itu mencetuskan huru-hara.
Ayat “bebaskan media, demokrasi, dan keadilan” ditulis di belon-belon itu.
“Maksudnya jelas. Kita patut sedar bahawa penentangan secara simbolik itu boleh, tidak mustahil,” kata Bilqis kepada wartawan hari ini.
“Saya berasa lega dibebaskan (dari tuduhan). Ia satu proses panjang untuk hal yang remeh sebegini. Saya gembira kes ini habis dengan bantuan Lawyers for Liberty.
“Saya berharap sangat supaya tidak ada rayuan kedua,” tambahnya.
Bilqis, 38, dituduh menjatuhkan belon dari tingkat lima pasar raya Pavilion Bukit Bintang pada jam 3.15 petang, 31 Ogos 2015 ketika Najib dan Rosmah menghadiri sebuah acara seni di aras bawah.
Insiden belon itu terjadi sehari selepas gabungan yang menuntut reformasi pilihan raya, Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan dua hari pada 29 dan 30 Ogos di Kuala Lumpur yang antaranya menuntut Najib meletak jawatan.
Pihak pendakwa mendakwa belon kuning itu berkait dengan perhimpunan Bersih 4, yang termasuk dengan bunting dan pakaian penyokongnya.
Pendakwa turut menuduh tindakan menjatuhkan belon itu menyebabkan kekecohan pada majlis itu.
Ketika membuat keputusan hari ini, Faizal berkata, berdasarkan testimoni dan rakaman CCTV, tidak menunjukkan sebarang kekecohan malah Bilqis dibawa keluar dari pasar raya tanpa sebarang insiden oleh pengawal pasar raya.
Tidak ada bukti tindakannya itu menimbulkan kemarahan kepada pengunjung, seperti yang didakwa pihak pendakwa, kata Faizal.
Tuduhan pertama Bilqis dibawa ke mahkamah pada 1 Julai lalu.
Pada 3 Oktober lalu, Bilqis diarah membela diri selepas hakim Mahkamah Tinggi Indera Mohd Sofian Abd Razak membatalkan keputusan mahkamah majistret itu dan mengarahkan kes disambung bicara di mahkamah rendah.
Indera Mohd Sofian memutuskan mahkamah majistret telah tersilap ketika membebaskan Bilqis dan membenarkan rayuan kerajaan terhadap pembebasan itu.
“Saya cuma mahu ingatkan perdana menteri mengenai prinsip yang tertera di belon-belon itu yang mana saya fikir adalah prinsip utama negara ini,” katanya kepada pemberita awal bulan ini.
“Inilah prinsip yang rakyat mahukan dan saya nak beritahu beliau yang kami berpegang teguh dengan prinsip ini,” katanya.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan. – 27 November, 2017.
Komen