MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan penerbit tarian Bilqis Hijjas membela diri atas tuduhan berkelakuan menghina kerana melepaskan belon kuning pada majlis yang dihadiri perdana menteri dan isteri pada Ogos 2015.
Dia sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Majistret dengan alasan pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti yang mencukupi untuk mensabitkan tuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Hakim Mahkamah Tinggi Indera Mohd Sofian Abd Razak hari ini membatalkan keputusan mahkamah majistret itu dan mengarahkan kes disambung bicara di mahkamah rendah.
Katanya, mahkamah mendapati perbuatan Bilqis itu menghina dan boleh menyebabkan kekacauan.
Indera Mohd Sofian juga memutuskan mahkamah majistret telah tersilap ketika membebaskan Bilqis.
“Mahkamah memutuskan responden dipanggil untuk membela diri,” kata hakim itu, seperti dipetik oleh Malay Mail Online.
Jelas Indera Mohd Sofian, menurut saksi, perkataan-perkataan “Free Media”, “Democracy”, “Justice” yang tertulis pada belon kuning yang dilepaskan itu adalah perkataan-perkataan sama yang dipakai pada perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos 2015.
Katanya, perkataan-perkataan itu “ada kaitan dengan Bersih” dan dari satu sudut membawa maksud menentang kerajaan yang memerintah.
Bilqis, 38, dibebas dan dilepaskan pada 1 Julai lalu setelah Majistret Mohd Faizal Ismail berpendapat pihak pendakwa gagal membuktikan elemen pertuduhan iaitu perlakuan yang menghina, berniat untuk memprovokasi dan ada kekacauan.
Bilqis berhadapan hukuman denda maksimum RM100.
Kes dihantar semula ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk sebutan semula pada 16 Oktober ini. – 3 Oktober, 2017.
Komen