Peguam Najib tidak tergugat untuk Riza Aziz beri keterangan 


Bede Hong

Pihak pendakwaan kes 1MDB Najib Razak memaklumkan akan membuat permohonan untuk memanggil Riza Aziz sebagai saksi pendakwaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

PASUKAN pembelaan Najib Razak tiada masalah dengan tindakan pihak pendakwaan untuk memanggil Riza Aziz sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan  1Malaysia Development Berhad.

“Bagi kami tak mengapa kerana jika kamu panggil Riza Aziz, Riza hanya akan bercakap benar,” kata peguam bela Muhammad Shafee Abdullah kepada pemberita selepas perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Keterangan Riza Aziz akan membantu kes anak guam saya. Beliau telah beri banyak keterangan…yang tidak menunjukkan beliau bersalah.

“Kenyataannya juga tidak akan menunjukkan Datuk Seri Najib bersalah,” kata Shafee.

Najib berdepan 25 pertuduhan jenayah berkaitan dana awam RM2.28 bilion dalam perbicaraan 1MDB yang bersambung hari ini selepas enam bulan tertangguh.

Gopal Sri Ram yang mengetuai pendakwaan memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan akan memohon untuk menyenaraikan Riza, yang merupakan anak tiri Najib, ke senarai saksinya.

Khamis lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan tanpa bebas atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Riza didakwa menggubah wang haram melalui syarikat produksi Hollywood, Red Granite Pictures.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan dijangka akan menerima aset bernilai AS$107.3 juta (RM465.3 juta) sebagai sebahagian daripada perjanjian antara pihak pendakwa dan Riza. – 19 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen