Dr Noor Hisham nasihatkan jangan ziarah kubur, rumah orang pada Hari Raya


Ragananthini Vethasalam

Sambutan Hari Raya tahun ini tidak boleh dibuat seperti biasa kerana negara masih berperang melawan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihati orang ramai supaya mengelak ziarah kubur dan rumah orang lain pada Hari Raya tahun ini.

Katanya, adalah “baik” jika orang Islam menyambut Hari Raya dengan mematuhi garis panduan ditetapkan ketika negara masih lagi berperang melawan Covid-19.

“Kita perlu tahu bagaimana hendak sambut Hari Raya tahun ini tanpa melawat rumah orang dan tanah perkuburan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Rakyat Malaysia perlu menerima yang Hari Raya tahun ini tidak boleh disambut seperti kebiasaan tetapi mereka masih boleh meraikannya dengan ahli keluarga terdekat, tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata nasihat tidak melawat tanah perkuburan dan rumah orang bukanlah dasar, tetapi cadangan bagi memastikan usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 terus berkesan.

“Jika kita patuh nasihat Kementerian Kesihatan, kita boleh putuskan rantaian jangkitan kerana Covid-19 masih berada dalam komuniti.

“Jika kita terdedah, kita akan bawa virus itu ke rumah dan menjangkiti mereka yang berisiko tinggi,” katanya.

Semalam, Dr Noor Hisham turut merayu supaya rakyat Malaysia tidak balik kampung untuk menyambut Hari Raya.

Hari ini Malaysia melaporkan 47 kes Covid-19, 44 lagi kes pulih dan tiada kematian.

Kes keseluruhan Covid-19 di Malaysia kini mencecah 6,941 orang, 5,615 sudah pulih dan 113 lagi jadi korban. – 18 Mei, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen