RAKYAT Malaysia didesak supaya tidak melakukan perjalanan rentas negeri tidak perlu bagi mengelak berlakunya kes baharu daripada kluster Covid-19 berkaitan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
“Sejumlah 971 kes (14.1%) daripada semua 6,894 kes positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri,” kata ketua pengarah kesihatan itu pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
“Lapan belas daripada 49 kluster direkodkan di Malaysia juga mempunyai corak perjalanan rentas negeri. 10 kluster ini masih aktif,” katanya.
Tambahnya, kontak rapat kes Covid-19 yang cuba melakukan perjalanan rentas negeri adalah isu membimbangkan.
“Kita perlu berhati-hati pada musim perayaan yang boleh mencetuskan pembentukan lebih banyak kluster dalam kawasan yang sudah hijau (tiada kes).”
Sebelum ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat peningkatan kenderaan yang cuba melakukan perjalanan rentas negeri, semalam.
Pada 15 Mei, polis melaporkan 508 kenderaan cuba merentas negeri diarah berpatah balik.
Dan jumlah itu meningkat kepada 1,248 buah kenderaan semalam, kata Ismail Sabri.
Setakat tengahari tadi, terdapat 22 kes baharu Covid-19 dilaporkan, membawa kepada jumlah keseluruhan kes di Malaysia sebanyak 6,894 dengan 1,210 kes aktif.
Daripada 22 kes baharu, 5 adalah kes import dan 9 daripada 17 kes tempatan melibatkan warga asing, kata Kementerian Kesihatan.
KKM juga menyatakan 13 pesakit kini berada dalam ICU dengan tujuh daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.
Jumlah korban wabak di negara ini kekal 113 orang. – 17 Mei, 2020.
Komen