KAJIAN Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati majoriti responden hanya mahu menyambut Hari Raya bersama keluarga terdekat dan tidak akan mengadakan rumah terbuka untuk saudara mara atau jiran mereka, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan itu berkata 74% daripada 215,712 responden yang terlibat dalam kajian berkata demikian dan hanya 26% bersedia menerima kehadiran tetamu luar pada Hari Raya.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut kajian itu.
“Majoriti kata mereka akan sambut dengan ahli keluarga serumah sahaja.
“20% kata mereka akan jemput saudara terdekat dan hanya 4% kata mereka akan jemput jiran dan saudara dari negeri lain,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Tambahnya, maklum balas itu sangat menggalakkan dan perubahan kelakuan itu membolehkan Malaysia memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. – 18 Mei, 2020.
Komen