TINDAKAN Bersih 2.0 dan tuduhan penipuan berlaku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah contoh utama ancaman media sosial kepada masyarakat Islam, kata unit propaganda kerajaan.
Dua isu itu digunakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz untuk menggambarkan bagaimana media sosial disalah guna bagi menyebarkan politik kebencian dalam negara.
Tun Faisal berkata tindakan menyebarkan politik kebencian, serta rekruit pengganas, jenayah siber dan pedofilia adalah contoh bagaimana media sosial disalah guna di Malaysia.
Penyebaran maklumat sebegitu mewujudkan kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia, katanya, menyebabkan mereka mengadakan demonstrasi menentang kerajaan.
“Maklumat mengenai (isu ini) tersebar menerusi media sosial tetapi rakyat tak faham,” kata bekas exco Pemuda Umno itu kepada wartawan.
“Ia menjadi topik perbualan masyarakat akar umbi dan akhirnya rakyat akan marah,” kata Tun Faisal pada Persidangan Khayr Ummah 2017 di Kuala Lumpur hari ini.
Tun Faisal menyampaikan pembentangan video mengenai ancaman media sosial kepada masyarakat Islam pada persidangan itu.
Satu lagi contoh, kata Tun Faisal, adalah reaksi rakyat Malaysia kepada pengumuman saman sivil dilakukan Jabatan Negara Amerika Syarikat (DoJ) kepada 1MDB pada 2016.
“DoJ baru sahaja buat pengumuman tetapi di Malaysia, mereka sudah buat demonstrasi untuk Tangkap MO1 (Malaysian Official 1). Mana logiknya? Tiada logik,” tambahnya.
“Hebahan maklumat tanpa penjelasan sewajarnya kadang kala buat rakyat marah, dan kemarahan itu tidak berasas. Ini adalah salah satu ancaman media sosial, serta jenayah siber dan beberapa yang saya sebut tadi (dalam pembentangan).”
Pembentangan itu termasuklah mengenai himpunan besar-besaran Bersih kali ketiga di Kuala Lumpur menggesa perubahan pilihan raya dan menghapuskan korupsi pada 2012. Beberapa foto menunjukkan kereta polis yang diterbalikkan sekumpulan pembantah ketika perhimpunan itu turut ditunjukkan.
Foto-foto tersebut menjadi sebahagian kandungan pembentangan Tun Faisal untuk menyokong dakwaan bagaimana media sosial digunakan untuk menggalakkan keganasan. Bagi menggambarkan isu ini dengan lebih lanjut, pembentangannya turut memasukkan sekali video Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai perang saudara di Syria.
Selain itu, pembentangan itu juga menyertakan sebuah video bagaimana pemangsa seksual menggunakan media sosial untuk memerangkap mangsa mereka.
Pada Ogos 2016, aktivis belia mengadakan perhimpunan Tangkap MO1 di Kuala Lumpur untuk menekan kerajaan supaya menyiasat dakwaan yang pegawai tertinggi kerajaan Malaysia merompak wang daripada dana pelaburan negara, 1MDB.
Tangkap MO1 dianjurkan selepas DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas hartanah mewah, aset berharga dan karya seni didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB yang dirompak.
Menurut saman DoJ itu, hampir AS$731 juta dirompak daripada dana yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi MO1.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan kemudiannya mengesahkan yang MO1 yang dirujuk adalah Perdana Menteri Najib Razak.
Najib sudah menafikan wujudnya sebarang salah laku dan mendakwa wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah derma daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi. – 26 November, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan