MPT Bersatu tiada kuasa pecat mana-mana ahli, kata Mukhriz


Zaim Ibrahim

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata, proses memecat ahli dilakukan oleh Lembaga Disiplin parti selepas mendapat aduan jika berlaku pelanggaran parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tiada kuasa untuk memecat mana-mana ahli parti, kata Mukhriz Mahathir, ketika timbul desas-desus adanya gerakan untuk memecat beliau dan bapanya Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi parti.

Timbalan Presiden Bersatu berkata, proses memecat ahli dilakukan oleh Lembaga Disiplin parti selepas mendapat aduan jika berlaku pelanggaran parti.

“Proses (untuk pecat ahli) adalah jika ada kesalahan kena buat aduan kepada Lembaga Disiplin, kemudian siasatan dijalankan oleh mereka. Jika ada kesalahan perlu beri surat tunjuk sebab dan diberi peluang mempertahankan diri.

“Jika lembaga (disiplin) keluarkan hukuman pun, masih boleh buat rayuan kepada Lembaga Rayuan.

“MPT tidak boleh hukum sesiapa, itu kena jelas,” katanya dalam sidang media di Alor Setar, hari ini.

Menurut Mukhriz, berita pemecatan itu timbul kerana Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dilantik menjadi setiausaha agung parti.

“Menteri dalam negeri dilantik jadi setiausaha agung, mungkin perlembagaan parti tidak penting.

Mesyuarat MPT hanya boleh dipanggil oleh pengerusi parti, Dr Mahathir Mohamad. Beliau diiktiraf oleh semua pihak termasuk Presiden Muhyiddin Yassin dalam kenyataan-kenyataan sebelum ini,” jelas beliau.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan, isu pemecatan Dr Mahathir dan Mukhriz timbul selepas MPT sepatutnya bermesyuarat 11 Mei lalu dijalankan tanpa menjemput mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin dalam satu kenyataan pada Khamis lalu memberi amaran parti boleh menggugurkan mana-mana ahli yang menyertai gabungan parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti.

Mesyuarat itu dipanggil ketika Bersatu terpecah dua antara kelompok Dr Mahathir dan kem Presiden Muhyiddin Yassin susulan perselisihan pendirian mengenai kerjasama politik.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan pada hujung Februari lalu dan membentuk kerajaan baharu bersama Umno dan PAS, yang disokong oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin juga memangku jawatan pengerusi parti selepas Dr Mahathir letak jawatan pada 24 Februari lalu, walaupun sebelum itu MPT menolak perletakan jawatan tersebut. Alasannya, tiada peruntukan dalam perlembagaan parti untuk Dr Mahathir dilantik semula. – 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen