Boleh berkunjung masa raya, tetapi hari pertama saja, kata Ismail Sabri


Ravin Palanisamy

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu terhad kepada ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

PUTRAJAYA membenarkan orang ramai mengunjungi keluarga terdekat sempena perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan, dan Hari Gawai – yang disambut ketika perintah kawalan pergerakan masih berjalan, namun terhad pada hari pertama perayaan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Kebenaran itu juga terhad pada ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang, katanya.

“Had 20 orang ini juga mengikut saiz rumah. Contohnya, jika flat berukuran 600 kaki persegi, 20 orang itu mungkin terlalu ramai dan tidak boleh buat penjarakan sosial.

“Justeru, mungkin lima orang dibenarkan masuk untuk ziarah pada satu-satu masa, sehingga mencapai kuota 20 orang pada hari pertama perayaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Putrajaya, hari ini.

Jelas Ismail, kebenaran itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Ismail juga mengingatkan rakyat agar mematuhi semua tatacara yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan Covid-19 sepanjang mereka berziarah pada hari perayaan.

Ini termasuk memakai pelitup muka, mengelak daripada bersentuhan serta kerap mencuci tangan.

Ismail juga memberi peringatan kepada mereka yang menerima tetamu atau berziarah agar sentiasa menjaga kebersihan, termasuk tidak berkongsi pinggan.

Kebenaran ziarah pada hari perayaan ini pertama kali disebut oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu semasa mengumumkan lanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat untuk empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 6) 2020 menetapkan kunjungan untuk tiga hari perayaan itu tertakluk pada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Putrajaya semalam mewartakan peraturan baharu untuk perintah kawalan pergerakan bersyarat yang berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 9 Jun. – 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen