KUNJUNGAN semasa Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dibenarkan tetapi bilangan pengunjung pada satu-satu masa tertakluk kepada arahan ketua pengarah kesihatan, menurut Warta Kerajaan Persekutuan berkenaan peraturan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Perkara itu disebut dalam warta yang dikeluarkan semalam, susulan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu mengenai perhimpunan tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa ketika aktiviti ziarah.
Muhyiddin semasa mengumumkan PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun berkata aktiviti menziarahi keluarga semasa Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dibenarkan tetapi tidak boleh dihadiri lebih 20 orang pada satu masa.
Bagaimanapun perintah melarang pergerakan merentas negeri masih kekal.
“Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.
“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka.”
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada esoknya berkata had maksimum 20 orang semasa kunjungan hari raya hanyalah angka relatif yang perlu disesuaikan dengan keadaan rumah dan hanya melibatkan anggota keluarga.
Beliau berkata bilangan pengunjung perlu mengikut saiz rumah semasa sambutan perayaan.
“Kalau rumah kita kecil tidak perlu 20 orang,” katanya.
Selain itu Warta Kerajaan Persekutuan itu juga memperuntukkan kebenaran perhimpunan bagi acara pengebumian tidak melebihi 20 kehadiran.
“Tiada seorang pun boleh dalam apa-apa cara menyertai atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan atau perarakan, sama ada bagi maksud ekonomi, keagamaan, pendidikan dan pembelajaran, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.”
Selain itu, peruntukan lain yang disebutkan adalah kebenaran kepada ahli Parlimen atau Adun menghadiri persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. – 13 Mei, 2020.
Komen