Pakatan Melaka mahu bawa kes lantik Rauf Yusoh ke mahkamah


Diyana Ibrahim

Pelantikan Rauf Yusoh sebagai speaker baharu tidak sah kerana dibuat selepas sidang ditangguhkan, kata Adun PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2020.

TINDAKAN mahkamah akan diambil ke atas pelantikan Pengerusi Umno Melaka Adun Ab Rauf Yusoh sebagai speaker DUN yang dianggap tidak sah, kata wakil rakyat Pakatan Harapan.

Adun Durian Tunggal Mohd Sofi Abdul Wahab berkata pelantikan itu tidak sah kerana dibuat selepas sidang DUN ditangguhkan.

“Bila speaker sudah tangguh, PN teruskan sidang DUN sesama mereka. Sepatutnya bila Speaker dah tangguh dewan, ia tidak boleh diteruskan. Kita katakan sidang tak sah.

“Jadi kita mungkin akan ambil tindakan mahkamah untuk cabar keabsahan sidang tersebut. Esok kita akan buat kenyataan mengenai perkara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bahkan katanya wakil rakyat PN juga melanggar peraturan sidang DUN dengan melantik speaker baru biarpun Omar pada awalnya telah monolak usul dikemukakan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

“Hujah kita apabila Speaker dah tangguh tidak boleh ada lagi sidang DUN. Walaupun mereka dakwa speaker PH tak sah sebab kita tidak ada majoiriti.

“Tapi sebenarnya speaker dah tolak awal lagi usul tersebut dan pagi tadi ada usul tergempar dan speaker pun tak benarkan tapi mereka tak hiraukan bahkan ada yang balik buku

“Bagi kita speaker belum ditukar perintah.  Pagi tadi masih lagi speaker yang sah maksudnya Adun kena patuh cakap speaker. Kalau nak tukar pun ikut prosedur lah,” katanya.

Kalangan wakil rakyat PN melantik Rauf sebagai speaker baharu selepas kekecohan yang timbul di dalam sidang Dewan mengenai kedudukan speaker Omar Jaafar.

Omar dilantik sebagai yang dipertua Dewan oleh pentadbiran PH yang kini diambil alih Perikatan Nasional selepas peralihan kuasa di Putrajaya pada Mac lalu.

Ia merupakan sidang DUN sulung selepas sejak perubahan pentadbiran di Melaka dua bulan lalu.

Usul melantik Rauf sebagai speaker dikemukakan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali (Umno – Lendu) disokong oleh Abd Ghafaar Atan (Umno - Asahan).

Ia mendapat sokongan semua wakil rakyat Perikatan yang hadir, lapor BH Online.

Sidang itu berlangsung kira-kira sejam selepas Omar menangguhkan sidang awal hari ini yang kecoh berhubung isu kedudukannya memegang jawatan itu.

Kekecohan bermula apabila Idris Haron (Umno - Sungai Udang) mendakwa Omar bahawa tidak layak untuk terus jadi speaker kerana tiada sokongan majoriti ahli dewan.

Bekas ketua menteri itu bangun dan membangkitkannya ketika Omar ingin memulakan sidang dengan bacaan doa, lapor Malaysiakini.

Idris dilaporkan menuduh Omar menolak usul pertukaran speaker dan timbalannya yang dikemukakan oleh Sulaiman, atas kepentingan peribadi.

Beberapa wakil rakyat pembangkang membantah usul Haron, lapor BH Online, termasuk menggesa beliau dihalau keluar kerana menghina DUN.

Keadaan jadi gamat apabila Omar mengumumkan usul Sulaiman ditolak, lalu mencetuskan kekecohan sehingga memaksa beliau menangguhkan sidang DUN ke satu tarikh lain.

Omar dilaporkan menolak usul pelucutan jawatan speaker dan timbalannya serta pelantikan pengganti mereka kerana berpendapat tiada prosedur yang jelas mengenai perkara itu.

Omar juga dilaporkan tidak mahu prosiding pada sidang kali ini jadi duluan.

Pentadbiran PH tumbang di Melaka selepas dua wakil rakyat PH, masing-masing dari seorang dari PKR dan seorang dari DAP, mengumumkan menyokong Umno untuk membentuk kerajaan baharu. – 11 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen