Selepas DUN Melaka kecoh, Perikatan lantik speaker baharu


DUN Melaka lantik Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh sebagai speaker yang baharu dalam sidang yang hanya dihadiri oleh wakil rakyat kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2020.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka melantik Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh sebagai speaker yang baharu dalam sidang yang hanya dihadiri oleh wakil rakyat kerajaan, selepas sidang sebelumnya ditangguhkan susulan kekecohan berhubung kedudukan Speaker Omar Jaafar.

Omar adalah speaker yang dilantik oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH), yang sekarang sudah digantikan oleh Perikatan Nasional selepas peralihan kuasa di Putrajaya pada Mac lalu.

Ini sidang DUN pertama sejak perubahan pentadbiran di Melaka dua bulan lalu.

Rauf dilantik atas usul yang dikemukan kepada sidang DUN oleh Ketua Menteri Sulaiman Md Ali (Lendu-Umno) dan disokong oleh Abd Ghafaar Atan (Asahan-Umno). Ia mendapat sokongan semua wakil rakyat Perikatan yang hadir, lapor BH Online.

Sidang DUN Melaka yang memilih Rauf dipengerusikan sementara oleh Adun Rim Ghazale Muhamad dari Umno.

Sidang itu berlangsung kira-kira sejam selepas Omar menangguhkan sidang awal hari ini yang kecoh berhubung isu kedudukannya memegang jawatan itu.

Kekecohan bermula apabila bekas ketua menteri Idris Haron (Sungai Udang-Umno) bangun dan memberitahu Omar bahawa beliau tidak layak untuk terus jadi speaker kerana tiada sokongan majoriti ahli dewan.

Insiden bermula ketika Omar ingin memulakan sidang dengan bacaan doa, lapor Malaysiakini.

Idris dilaporkan menuduh Omar menolak usul pertukaran speaker dan timbalannya yang dikemukakan oleh Sulaiman, atas kepentingan peribadi.

Beberapa wakil rakyat pembangkang membantah usul Haron, lapor BH Online, termasuk menggesa beliau dihalau keluar kerana menghina DUN.

Keadaan jadi gamat apabila Omar mengumumkan usul Sulaiman ditolak, lalu mencetuskan kekecohan sehingga memaksa beliau menangguhkan sidang DUN ke satu tarikh lain.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Omar menolak usul pelucutan jawatan speaker dan timbalannya serta pelantikan pengganti mereka kerana berpendapat tiada prosedur yang jelas mengenai perkara itu dan tidak mahu prosiding pada sidang kali ini jadi duluan.

Pentadbiran PH tumbang di Melaka selepas dua wakil rakyat PH, masing-masing dari seorang dari PKR dan seorang dari DAP, mengumumkan menyokong Umno untuk membentuk kerajaan baharu. – 11 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen