PAS tidak tolak MB baharu di Kedah


Zaim Ibrahim

Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bagaimanapun berkata perkara itu terserah pada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2020.

PAS tidak menolak kemungkinan akan berlaku peralihan kuasa di Kedah, sama seperti di tiga negeri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Putrajaya, kata dua pemimpin kanan parti Islam itu, selepas mesyuarat hampir tiga jam bersama pemimpin Umno negeri di Alor Setar hari ini.

Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata perkara itu terserah pada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Calon Menteri Besar terserah pada Tuanku, sekarang masih ada Menteri Besar, kan?,” kata Samsuri kepada pemberita selepas mesyuarat di Komplek PAS Kedah.

“Buat masa ini Mukriz Mahathir masih menteri besar. Saya tidak tahu bila nak jumpa Tuanku, saya tidak terlibat,” tambahnya.

Menurut Samsuri, mesyuarat itu membincangkan pelbagai perkara termasuk mengenai Dewan Undangan Negeri.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan dua wakil rakyat Umno.

Takiyuddin yang ditanya spekulasi mengenai pertukaran Menteri Besar Kedah, juga berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Sultan.

“Itu atas Sultan,” katanya ringkas.

Mesyuarat tertutup pemimpin PAS dan Umno Kedah hari ini berlangsung beberapa hari selepas parti Islam itu mengumumkan kesediaan mengambil alih pentadbiran negeri kerana Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu masing-masing berkecamuk, menyebabkan gabungan yang memerintah negeri rapuh.

Tidak seperti di Johor, Melaka, dan Perak, pentadbiran PH di Kedah kekal selepas ia membentuk kerjasama politik dengan Bersatu.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir dikekalkan sebagai menteri besar walaupun beliau bercanggah pandangan dengan langkah presiden Muhyiddin Yassin membawa parti keluar dari PH dan bekerjasama dengan Umno.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir dikekalkan sebagai menteri besar walaupun beliau bercanggah pandangan dengan langkah presiden Muhyiddin Yassin membawa parti keluar dari PH dan bekerjasama dengan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2020.

Pemimpin PAS dan Umno yang dilihat hadir di Komplek PAS Kedah hari ini ialah Pengerusi Umno Kedah Jamil Khir Baharom dan Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya serta Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Dua Adun Umno yang hadir ialah Adun Bandar Baharu Norsabrina Mohd Noor dan Adun Sungai Tiang Suraya Yaakob.

Rabu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri PH daripada Mukhriz.

Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dengan Umno yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain kepincangan serta permasalahan yang berlaku dalam kalangan Adun PH ketika ini.

“Pada dasarnya, PH telah tempang dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan negeri Kedah, perubahan kerajaan negeri sudah tidak dapat dielakkan lagi.

“Justeru, PAS Kedah yang memiliki 15 kerusi DUN di Kedah, jumlah paling tinggi dalam kalangan parti yang ada di Kedah bersedia menerajui pentadbiran kerajaan negeri ini,” kata Ahmad Yahya sebelum ini.

Ahmad juga mendakwa PH di Kedah semakin rapuh susulan krisis dalaman PKR.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Mukhriz namun tiada respons setakat ini.

Exco Kesihatan Negeri, Ismail Salleh dari Amanah dalam reaksi awalnya berkata, sultan mempunyai kuasa melantik tetapi bukan memecat.

“Tuanku ada kuasa melantik tetapi tiada kuasa memecat menteri besar,” katanya ringkas kepada The Malaysian Insight.

Tambah Ismail, jika Pas dan Umno yakin mempunyai majoriti, mereka boleh membuat usul undi tidak percaya kepada menteri besar di Dewan Undangan Negeri.

PH mempunyai 13 kerusi dengan PKR 7, Amanah 4, dan DAP 2, sementara Bersatu ada 6 kerusi. – 10 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen