Perikatan amal kronisme dengan lantikan GLC, kata Anwar 


Chan Kok Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, sekiranya cara lama itu dikembalikan, ia menjadikan politik hanya tempat untuk perebutan kedudukan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

“NORMAL baru” untuk politik mesti mengecualikan kronisme, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Kita tidak boleh teruskan dengan sistem sebelum ini selepas Covid-19 yang mana perjuangan politik hanya untuk jawatan,” katanya pada siaran langsung di Facebook sempena ulang tahun kedua mandat rakyat PRU14 yang menyaksikan Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional.

“Kebimbangan kita sekiranya cara lama itu dikembalikan bahawa politik ini hanya tempat untuk perebutan kedudukan, siapa dapat kerusi dan siapa dapat GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sehingga tidak sempat fikir untuk masa depan rakyat.

“Matlamat saya adalah untuk memastikan cara lama ini tidak berulang dan dasar ekonomi kita tidak hanya memperkayakan golongan kaya,” kata Anwar.

Dengan kemelesetan ekonomi akibat Covid-19, Anwar berkata cara lama adalah tidak mampan.

“Ekonomi meleset, wang tidak ada.

“Rakyat hanya diberikan RM60-RM80 bahan makanan sebulan, tetapi pendapatan pengerusi GLC RM70,000, RM80,000.

“Ini tidak menggambarkan sikap yang prihatin untuk membawa perubahan kepada rakyat,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Susulan kejatuhan kerajaan Pakatan pada Februari lalu, kerajaan yang diterajui Muhyiddin Yassin kini menggantikan semua pengarah dan pengerusi GLC dengan melantik ahli Parlimen yang menyokongnya.

Terdahulu hari ini, tiga lagi ahli Parlimen dilantik ke jawatan GLC – Jalaluddin Alias (Jelebu), Hasbullah Osman (Gerik) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Muhyiddin kini sedang mendapatkan sokongan ketika perintah kawalan pergerakan Covid-19 menjelang sidang Parlimen yang berlangsung sehari pada 18 Mei depan.

Notis usul tidak percaya turut dibuat terhadapnya oleh bekas sekutunya yang juga bekas perdana menteri Dr Mahatir Mohamad.– 9 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen