Maszlee tolak jawatan pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp


Apa-apa sahaja bentuk lantikan adalah amanah dari rakyat, dan harus pulang kepada rakyat, kata Maszlee Malik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

BEKAS menteri pendidikan Dr Maszlee Malik menolak pelantikan sebagai pengerusi Jawatankuasa Penasihat Mara Corp, ketika semakin banyak ahli Parlimen diumumkan menerajui pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

Katanya, beliau tidak dapat menerima pelantikan itu atas pertimbangan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

“Saya percaya, apa-apa sahaja bentuk lantikan adalah amanah dari rakyat, dan harus pulang kepada rakyat. 

“Kepentingan rakyat adalah paksinya dan bukannya keuntungan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini. 

Maszlee dikatakan menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang masih kekal dalam Bersatu. 

Bersatu kini berpecah dua selepas presidennya Muhyiddin Yassin menarik parti keluar dari Pakatan Harapan pada hujung Februari lalu sehingga membawa kepada peralihan kuasa di Putrajaya.

Dalam kenyataannya hari ini, Maszlee juga berkata beliau tidak boleh menerima lantikan buat masa ini kerana mahu memberi perhatian kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Buat masa ini, saya lebih terkesan dengan kesempitan hidup rakyat dan tekanan ekonomi yang dihadapi gara-gara bencana Covid-19. 

“Di Simpang Renggam sendiri, terlalu banyak keluarga yang tersadai derita dan perlu dibantu.

“Justeru itu, saya tidak boleh menerima lantikan ini buat masa ini. Kita masih belum menang melawan Covid-19,” katanya.

Pelantikan Maszlee diumumkan semalam dan berkuatkuasa 15 Mei. – 9 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen